Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di zon utara bagi menangani kesan cuaca panas serta penyusutan paras air di beberapa empangan utama.
Nadma menerusi hantaran Facebook rasminya memaklumkan operasi yang bermula semalam diteruskan hari ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan tadahan hujan di Kedah dan Perak, melibatkan beberapa empangan strategik yang menjadi sumber utama bekalan air domestik, industri dan pengairan pertanian.
“Di Kedah, kawasannya meliputi Empangan Pedu yang merupakan nadi utama pengairan padi serta bekalan air domestik dan industri, Empangan Muda pula berfungsi sebagai empangan pengimbang dengan airnya disalurkan ke Empangan Pedu melalui Terowong Saiong dan Empangan Ahning yang menjadi antara empangan penting bagi pelepasan air untuk kegunaan domestik dan industri,” kata Nadma.
Sementara itu di Perak, operasi tertumpu di Empangan Bukit Merah bagi memastikan kestabilan sistem pengairan padi di utara negeri itu, selain Empangan Temenggor yang berperanan sebagai penjana kuasa hidroelektrik dan kawasan tadahan air bagi membekalkan air minuman dan keperluan sektor pertanian khususnya di daerah Perak Tengah.
Operasi itu menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang.
Menurut Nadma pelaksanaan OPA itu diharap dapat membantu memulihkan simpanan air demi kesejahteraan rakyat, khususnya bagi sektor pertanian dan kegunaan domestik.
OPA dilakukan untuk mempertingkatkan proses pembentukan hujan dan menambahkan jumlah hujan di kawasan yang dikehendaki semasa krisis kekurangan air, jerebu dan kebakaran hutan.
-Bernama
