Siasatan polis terhadap Bloomberg berhubung laporannya mengenai dakwaan salah laku SPRM adalah saling tak tumpah seperti bagaimana pentadbiran Najib Razak bertindak terhadap Wall Street Journal (WSJ) berkaitan pendedahan 1MDB, kata peguam Latheefa Koya.
Bagi Latheefa, ia hanyalah taktik dan berkemungkinan memakan diri kerajaan Madani.
“Ini skrip yang sama. Penafian bernada marah dan ugutan tindakan jenayah terhadap media. Ia tidak menyelamatkan Najib, dan ia tidak akan menyelamatkan Madani,” kata pengasas Lawyers for Liberty itu kepada Malaysiakini.
“Jika (laporan Bloomberg) tidak benar, mengapa reaksi yang dibuat begitu terdesak? Mengapa tidak tubuh sahaja sebuah badan bebas untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan Bloomberg itu?” katanya lagi.
Dalam kenyataan malam tadi, Ibu pejabat polis Bukit Aman berkata ia memulakan siasatan jenayah terhadap Bloomberg berhubung laporan bertarikh 10 Feb, mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, artikel tersebut mengandungi kenyataan berbaur fitnah terhadap Azam dan sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah jenayah.
Antara perkara yang dipertikaikan Azam dalam artikel Bloomberg berhubung dia tidak membuat deklarasi harta secara terbuka.
Azam bagaimanapun menegaskan dia telah mengisytiharkan hartanya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan tidak perlu membuat pendedahan awam.
Pada 2015, polis memulakan siasatan terhadap WSJ selepas ia menyiarkan dokumen bank yang memperincikan bagaimana AS$681 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Disember lalu, Najib disabitkan kesalahan menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan pemindahan tersebut.
Sementara itu, Latheefa turut mengkritik penggunaan Seksyen 500 – yang merangkumi kesalahan fitnah jenayah – terhadap pihak yang mengkritik kerajaan.
“Ia digunakan secara terpilih untuk menutup kritikan terhadap mereka yang memegang kuasa.
“Ia pernah digunakan terhadap pemimpin dan aktivis PH sendiri ketika mereka menjadi pembangkang. Setiap kali dakwaan dibuat terhadap agensi kerajaan, menteri atau kerajaan negeri – muncul Seksyen 500 untuk cuba menutup semuanya.
“Taktik ini tidak pernah berjaya untuk jangka masa panjang, dan ia tidak akan berjaya sekarang,” katanya.
Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Semasa pentadbiran Najib, antara yang disiasat di bawah Seksyen 500 kerana membuat kenyataan mengenai skandal 1MDB ialah Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Malaysiakini.
