Kerajaan Negeri Melaka akan membentangkan pindaan enakmen berkaitan haiwan ternakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap ternakan berkeliaran, susulan pelaksanaan sistem kod respons pantas (QR) ke atas lembu dan kerbau di negeri itu.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata langkah itu bertujuan memastikan penternak lebih bertanggungjawab dalam mengurus ternakan masing-masing, selain mengelakkan risiko kemalangan jalan raya serta kerosakan tanaman.
"Pindaan enakmen yang dijangka dibentangkan pada persidangan DUN Mei ini akan memperincikan hukuman dan kompaun mengikut tahap kesalahan.
“Hukuman akan berbeza mengikut kesalahan, termasuk kes ternakan berkeliaran sehingga menyebabkan kerosakan, kes melibatkan kerosakan tanaman, kemalangan yang mengakibatkan kecederaan ringan atau parah serta kes sehingga menyebabkan kematian," katanya kepada pemberita di Dataran Orang Kampung, Merlimau, di Jasin hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Program Karnival Jualan Agro MADANI peringkat negeri, dan turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri.
Mengulas lanjut Dr Muhamad Akmal berkata langkah itu bukan bertujuan menghukum, sebaliknya memberikan peringatan dan mendidik pemilik bahawa ternakan adalah tanggungjawab mereka, selain mengelakkan risiko berlaku insiden tidak diingini sehingga menjejaskan keselamatan awam.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mewajibkan semua lembu dan kerbau ditandakan dengan tag kod QR bermula Mac ini.
“Kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos pemasangan tag itu dalam tempoh enam bulan pertama sebagai tempoh ihsan. Dalam tempoh itu, semua penternak perlu mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mendapatkan tag dan proses penandaan akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Selepas tempoh enam bulan, kos penandaan akan ditanggung oleh penternak. Mana-mana lembu atau kerbau yang tidak ditag selepas tempoh itu akan dianggap sebagai tidak berdaftar, dan boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata haiwan ternakan yang didapati berkeliaran tanpa tag selepas tempoh ditetapkan boleh ditangkap dan tertakluk kepada tindakan mengikut peruntukan enakmen yang dipinda.
- Bernama
