Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memberi tumpuan pada 12 lokasi dikenal pasti sebagai lokasi hotspot dan blackspot dalam pelaksanaan penguatkuasaan Op Khas Tahun Baru Cina (TBC) 2026 sejak 9 Feb lalu hingga 22 Feb ini.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail, berkata lokasi berkenaan melibatkan empat zon di lima daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi serta kerap berlaku kemalangan jalan raya.
“Bagi penugasan operasi kali ini, JPJ menggerakkan keseluruhan 168 anggota yang akan melakukan rondaan setiap hari di lokasi berkenaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita pada sidang media pelaksanaan Op TBC 2026 di Jambatan Pulau Pinang, Bukit Mertajam malam tadi.
Menurut Zulkifly JPJ turut memperluas penggunaan kamera badan dalam operasi kali ini bagi meningkatkan tahap integriti anggota penguat kuasa serta ketelusan semasa menjalankan tugas.

Selain itu, dia berkata, penggunaan kamera badan yang mula dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun ini juga banyak membantu aspek penguatkuasaan, termasuk dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku sebarang gangguan atau halangan semasa pelaksanaan tugas di lapangan.
Sementara itu, Zulkifly berkata objektif pelaksanaan Op TBC 2026 berkenaan adalah untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas, sekali gus meminimumkan kadar kemalangan serta kematian akibat kemalangan jalan raya.
Dia menjelaskan penguatkuasaan juga bertujuan memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam, di samping meningkatkan tahap keselamatan, kualiti serta kebolehharapan perkhidmatan kepada pengguna.
Terdahulu, dalam operasi bersepadu yang bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam, sebanyak 584 kenderaan diperiksa dengan 167 daripadanya diambil tindakan dan 184 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Operasi disertai 61 pegawai dan anggota penguat kuasa lain termasuk dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Plus Malaysia Bhd.
Selain JPJ, sebanyak 10 saman dikeluarkan JSPT manakala JAS melaksanakan 57 pemeriksaan dan mengeluarkan 11 kompaun, 11 notis arahan uji semula di samping menjalankan 20 ujian meter asap.
- Bernama
