KATA MP | Keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, menimbulkan kebimbangan serius apabila dilihat dalam konteks sejarah institusi negara sejak kebelakangan ini.
Dari segi substansi dan struktur, jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu amat menyerupai pasukan petugas pelbagai agensi yang dibentuk pada 2015 bagi menyiasat skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib Razak.
Pasukan petugas terdahulu itu turut melibatkan peguam negara (AG) sebagai salah seorang anggota utama.
Hasil daripada susunan tersebut kini sudah diketahui umum.
Pasukan petugas berkenaan dilihat secara meluas sebagai tidak berkesan dan akhirnya menjadi kegagalan besar, runtuh dalam kontroversi, campur tangan institusi, serta kehilangan keyakinan awam.
Ia tidak meningkatkan kredibiliti, bahkan komposisinya menjejaskan kepercayaan terhadap integriti proses siasatan.
Atas sebab inilah, penyertaan AG sebagai ketua atau anggota jawatankuasa khas sekarang menimbulkan kebimbangan yang mendalam.
Pengalaman pada 2015 menunjukkan bahawa penubuhan sedemikian mewujudkan masalah persepsi yang ketara, khususnya apabila pihak yang sama akhirnya mempunyai budi bicara pendakwaan.
Buktikan dengan tindakan konkrit
Keyakinan awam terhadap mana-mana siasatan berkaitan dakwaan salah laku yang serius bergantung bukan saja pada kebebasan sebenar, tetapi juga persepsi kebebasan tersebut.
Sesebuah jawatankuasa tidak dapat memperoleh legitimasi jika anggotanya dilihat mempunyai kaitan institusi dengan sistem yang sedang disiasat.
Pengajaran daripada pasukan petugas 1MDB adalah jelas: badan penyiasat yang ditugaskan untuk meneliti perkara berkepentingan nasional mesti terdiri daripada individu yang bebas dan dilihat bebas.
Tanpa perlindungan asas ini, proses berkenaan berisiko untuk dianggap sekadar satu usaha institusi yang tidak mempunyai kredibiliti.
Jawatankuasa khas yang ditubuhan itu – dalam bentuknya sekarang – berisiko mengulangi kelemahan struktur yang sama seperti pasukan petugas terdahulu.
Hal ini amat membimbangkan memandangkan keseriusan dakwaan yang terlibat serta implikasinya terhadap kepercayaan awam terhadap institusi tadbir urus negara.
Jika kerajaan benar-benar komited terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban, ia mesti memastikan bahawa sebarang mekanisme siasatan yang ditubuhkan mencerminkan kebebasan institusi yang sebenar, bukannya mengulangi model yang pernah gagal.
Dalam keadaan ini, anggota utama mana-mana jawatankuasa yang menyiasat dakwaan tersebut mestilah individu yang tidak mempunyai kepentingan institusi secara langsung terhadap hasil siasatan.

Jika kerajaan benar-benar menghargai integriti serta komitmen awamnya untuk memerangi rasuah tanpa takut atau pilih kasih, maka ia mesti membuktikan tekad tersebut melalui tindakan yang konkrit.
Sehubungan itu, saya menyokong dan mengulangi gesaan yang dibuat oleh Wong Chen agar Tengku Maimun Tuan Mat dilantik untuk mempengerusikan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat dakwaan serius ini.
Beliau diakui oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai mempunyai kelayakan yang cemerlang, integriti yang tidak diragui, serta rekod kebebasan yang terbukti.
Penglibatan Tengku Maimun akan serta-merta meningkatkan kredibiliti, keyakinan awam, dan legitimasi proses siasatan.
Akhirnya, dalam perkara yang begitu penting kepada negara, keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi juga mesti jelas dan nyata dilihat dilaksanakan tanpa sebarang keraguan.
TERESA KOK ialah Anggota Parlimen Seputeh di Kuala Lumpur, dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
