Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ambiga, Surendran desak PM tarik balik arahan 'bersihkan' kuil haram
Diterbitkan:  Feb 15, 2026 12:07 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Peguam kanan, Ambiga Sreenevasan dan N Surendran, menggesa perdana menteri menarik balik arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya “membersihkan” mana-mana rumah ibadat yang dibina secara tidak sah.

Kata mereka arahan Anwar Ibrahim itu belum pernah berlaku sebelum ini dan jelas telah membawa implikasi serius.

“Sebagai permulaan, hanya mahkamah boleh memutuskan secara muktamad bahawa sesebuah kuil menduduki tanah secara tidak sah dan perintah mahkamah diperlukan sebelum ia boleh dirobohkan.

“Dalam apa jua keadaan, pihak pengurusan kuil tidak boleh dilabel sebagai penceroboh dan dikenakan tindakan polis.

“Hujah bahawa tindakan sendiri atau ‘vigilantisme’ dibenarkan jika ia melibatkan tanah persendirian juga tidak berasas,” kata Ambiga dan Surendran dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Anwar pada Selasa mengarahkan PBT supaya “membersihkan” mana-mana rumah ibadat yang dibina secara tidak sah.

Dua hari kemudian, sebuah kuil di Rawang dilaporkan rosak akibat tindakan kumpulan vigilantisme.

Anwar sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa tiada sesiapa boleh mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri dan menolak sebarang bentuk perbuatan vigilantisme.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut menegaskan bagi rumah ibadat yang dibina di atas tanah persendirian, proses sedia ada menghendaki pemilik tanah melantik peguam dan mendapatkan perintah mahkamah sebelum apa-apa pengusiran atau perobohan dilakukan.

Dalam kenyataan hari ini, Ambiga dan Surendran berkata, arahan Anwar itu bercanggah dengan nilai Madani yang menekankan kepercayaan dan ihsan.

“Hakikat bahawa arahan itu datang daripada kerajaan yang berkuasa hasil sokongan semua komuniti menyerlahkan sikap tidak prihatin terhadap cara mereka kini dilayan.

“Kerajaan ini mempunyai tanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia untuk memastikan mereka dapat hidup dalam aman dan harmoni tanpa rasa takut serta dapat mengamalkan semua kebebasan asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah hak asasi manusia yang sedang dicabul oleh kerajaan yang ramai antara kita sokong,” kata mereka.

Peguam terbabit turut menambah kerajaan perlu bertindak dengan berhati-hati dalam isu berkaitan agama dan budaya, termasuk mengadakan perbincangan yang wajar dengan pemimpin komuniti bagi menyelesaikan perkara sensitif.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS