Peguam Negara (AG), Dusuki Mokhtar, memaklumkan jawatankuasa yang dipengerusikannya bagi menyiasat Azam Baki hanya akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Ketika ditanya jika skop siasatan jawatankuasa berkenaan turut merangkumi semua dakwaan yang dibangkitkan oleh Bloomberg, Dusuki meminta Malaysiakini merujuk kepada kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.
Kenyataan Shamsul Azri pada Jumaat lalu hanya menyebut bahawa jawatankuasa terbabit akan meneliti isu pegangan saham tanpa menyentuh dakwaan bahawa pegawai-pegawai SPRM bersekongkol dengan individu persendirian untuk menekan pesaing perniagaan dan mengatur pengambilalihan korporat.
Bloomberg mendakwa Azam mengetahui tentang pakatan tersebut, malah bertindak menyokong perbuatan berkenaan.
Ahli Parlimen dari PKR, DAP dan PAS sudah mengkritik jawatankuasa berkenaan kerana dikatakan kurang bebas, sambil menekankan ia berpotensi menimbulkan konflik kepentingan apabila peguam negara juga menjadi penyiasat.
Dusuki turut mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa siasatan berhubung pegangan saham itu sedang dijalankan dan kini berada pada peringkat pengumpulan maklumat.
Azam mula menjadi perhatian awal minggu ini selepas Bloomberg dan Malaysiakini melaporkan secara berasingan bahawa ketua badan antirasuah itu memiliki saham besar dalam dua syarikat.
Jumlah yang dimiliki Azam didakwa melebihi had yang dibenarkan bagi penjawat awam.
Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan Azam pernah memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd (Velocity Capital) dan kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Bhd (Awanbiru).
Saham Velocity Capital dipercayai dibeli sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada suatu ketika.
Walaupun dagangan saham oleh penjawat awam tidak menyalahi undang-undang, Pekeliling Pengurusan Tatakelakuan dan Disiplin Pegawai Awam 2024 menetapkan penjawat awam tidak dibenarkan membeli saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau RM100,000 pada nilai semasa.
Azam menegaskan bahawa pegangan sahamnya tidak melibatkan modal berbayar, sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka.
