Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjelaskan bahawa perubahan dalam senarai pemegang saham Awanbiru Technology Bhd (Awanbiru) adalah disebabkan oleh rekod syarikat yang dikemas kini.
Kenyataan itu dibuat SSM sebagai reaksi badan tersebut kepada pertanyaan mengenai pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dalam syarikat terbabit.
Pada 11 Feb lalu Malaysiakini membeli rekod syarikat Awanbiru pada jam 9 pagi, dan mendapati Azam disenaraikan sebagai memiliki lebih sedikit daripada 4.52 juta saham.
Rekod tersebut menyatakan data tersebut berdasarkan dokumen syarikat pada 13 Jan.
Malaysiakini kemudian menerbitkan laporan mengenai pegangan saham Azam pada jam 12.30 tengah hari. Bagaimanapun, menjelang jam 5 petang pada hari yang sama, salinan kedua dokumen berkenaan – juga dinyatakan berdasarkan dokumen Awanbiru pada 13 Jan - tidak lagi menyenaraikan Azam sebagai pemegang saham.
Beberapa pemegang saham lain melalui syarikat nomini juga nampaknya digabungkan dalam dokumen yang diakses pada jam 5 petang.
Dalam e-mel kepada Malaysiakini semalam, SSM menyatakan dokumen yang diakses pada pagi 11 Feb lalu itu adalah berdasarkan maklumat dari 2024.
“Data yang diperoleh oleh Malaysiakini sebelum ini adalah berdasarkan maklumat dalam penyata tahunan Awanbiru bagi 2024, manakala data terkini yang diperoleh adalah berdasarkan maklumat dalam penyata tahunan 2025.
“Maklumat tersebut telah diproses dan dikemas kini selepas proses pengesahan serta integrasi data bagi penyata tahunan 2025 selesai dilaksanakan dalam sistem SSM yang melibatkan lebih 700,000 syarikat aktif di Malaysia.
“Sehubungan itu, paparan maklumat adalah tertakluk kepada status pemprosesan penyata tahunan pada waktu capaian dibuat,” katanya.

Azam tidak memperakui dia mempunyai saham Awanbiru dengan satu-satunya kenyataan berkaitan dakwaan tersebut ialah dia tidak lagi memegang sebarang saham kerana telah melupuskan portfolionya menjelang Julai tahun lalu.
"Saya tidak lagi memegang sebarang saham. Tunjukkan fakta jika saya masih memegangnya.
“Awanbiru yang mana? Saya tak tahu," katanya seperti dipetik Astro Awani dalam sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Rabu lalu.
Saham Awanbiru dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta dan RM1.38 juta pada satu ketika.
Azam juga dipercayai membeli 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd (Velocity Capital) pada Jan tahun lalu dengan harga sekitar RM1.5 juta sebelum dia menjual semula saham tersebut pada harga sekitar RM1.06 juta Julai lalu.
Walaupun jula beli saham oleh penjawat awam tidak menyalahi undang-undang, Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 menetapkan bahawa mereka tidak dibenarkan membeli saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau RM100,000 pada nilai semasa.
Azam menegaskan bahawa pegangan sahamnya tidak melibatkan modal berbayar sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka.
Azam juga menafikan terbabit dalam sebarang salah laku dengan memberitahu dia sudah membuat pengisytiharan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
JPA kemudian memberitahu mereka sedang menyemak semula peraturan pegangan saham yang "lapuk".
Sebuah jawatankuasa tiga ahli yang diketuai oleh Peguam Negara Dusuki Ahmad juga sedang menyiasat isu pegangan saham Azam.
