Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azam komited mahu terus bertugas seperti biasa
Diterbitkan:  Feb 15, 2026 2:51 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menegaskan dia tidak perlu bercuti susulan terkait dakwaan serta pelbagai perkara berbangkit yang dikaitkan dengan dirinya, malah akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri perasmian Kampung Angkat Madani di Sepang hari ini, Azam berkata tiada keperluan untuk dia bercuti memandangkan setakat ini tiada sebarang pertuduhan jenayah dikenakan terhadapnya.

“Saya tak perlu bercuti. Kalau nak bercuti bagi tahu saya berapa ramai yang kena tuduh sekarang ni di mahkamah (tetapi) masih lagi bertugas?

“Ada orang (bekas) menteri kewangan pun masih lagi (bertugas ketika kes dalam siasatan), apa masalahnya? Saya ada buat criminal-kah?” katanya.

Sementara itu, Azam menyatakan keyakinannya bahawa jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terhadapnya akan melaksanakan siasatan secara telus dan profesional.

Dia juga memberikan komitmen untuk bekerjasama penuh termasuk mengemukakan dokumen yang diperlukan.

"Saya serahkan pada jawatankuasa terbabit, mereka boleh jalankan tanggungjawab dan saya bersedia untuk memberi apa-apa juga dokumen atau keterangan yang diperlukan,” katanya.

Azam berkata setakat ini dia belum dipanggil untuk memberikan keterangan namun tetap bersedia memberikan kerjasama dan menyerahkan semua dokumen berkaitan sekiranya perlu.

“Ada dokumen peribadi saya akan tunjuk pada merekalah. Contohnya dokumen bank, takkan saya nak tunjuk pada orang yang tiada berkaitan pula," katanya.

Tambah Azam, dai telah memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan yang dijalankan.

“Saya telah berjumpa mereka, tetapi saya akan beri mereka dokumen itu, dokumen sama yang akan saya berikan kepada jawatankuasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azam memberitahu dia sudah menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg dan akan meneruskan tindakan saman sekiranya tiada maklum balas diterima dalam tempoh 14 hari.

Terdahulu, media melaporkan terdapat gesaan daripada pelbagai pihak agar Azam direhatkan daripada jawatan selepas laporan Bloomberg mendakwa dia memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu berkata tiada keperluan segera untuk merehatkan Azam sebaliknya menyerahkan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan untuk melakukan siasatan terlebih dahulu.

Jawatankuasa khas berkenaan dipengerusikan oleh Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, dan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS