Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Seleweng' pelaburan: Timbalan KP SPRM akan jelaskan, kata Azam
Diterbitkan:  Feb 15, 2026 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, sbarang penjelasan lanjut berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion membabitkan bekas menteri kanan sebuah kementerian akan dibuat oleh timbalan ketua pesuruhjaya agensi itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan perkembangan terkini status siasatan kes itu memandangkan ia baru saja dilaporkan.

Katanya, penjelasan berkenaan siasatan itu akan dibuat Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya.

"Timbalan saya akan mengulas (mengenai kes itu), sebab ini baru dilaporkan dan saya pun tiada perkembangan terkini tentang perkara ini sama ada dia dah buka betul-betul (kertas) siasatan, siapa nak dipanggil dan sebagainya.

“Saya tidak mahu ulas tentang ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri perasmian Kampung Angkat Madani di Sepang hari ini

SPRM baru-baru ini mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian daripada gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Khamis.

Ahmad Khusairi sebelum ini berkata SPRM akan meneliti keseluruhan laporan yang diterima bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.

Katanya tindakan susulan yang diambil termasuk meneliti dokumen dan bukti yang dikemukakan sebelum siasatan lanjut dijalankan seiring dengan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS