Bersatu kini berjaya mendapatkan semula kawalan ke atas akaun rasmi mereka di Facebook selepas ada pihak tertentu memuat naik hantaran yang menyerang atau memperolok-olok presiden parti terbabit, Muhyiddin Yassin.
Ketua Penerangan Pemuda (Armada) Bersatu, Harris Idaham Rashid, berkata pihak parti berjaya mendapatkan akses penuh ke atas akaun tersebut pada jam 12.41 pagi tadi.
Katanya Bersatu mengesan hantaran berunsur sabotaj bermula pada jam 8.54 pagi 14 Feb lalu dan berterusan selama hampir 15 jam.
Katanya sepanjang tempoh itu sebanyak 21 hantaran dimuat naik oleh “salah seorang administrator” yang memberi gambaran positif kepada bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, dan hantaran sebaliknya untuk Muhyiddin.
Menurut Harris Idaham, pentadbir akaun Facebook Berstau itu dikeluarkan dari sebarang akses dan kawalan pengurusannya kembali ke pegawai-pegawai Bersatu sejurus selepas itu.
“Armada Bersatu Malaysia bersyukur kerana dapat memainkan peranan penting bersama beberapa individu lain dalam operasi kecil ini demi kepentingan dan kelangsungan parti.
“Kejadian ini membuktikan bahawa memang wujud duri dalam daging dan api dalam sekam di kalangan segelintir kecil ahli parti,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.
Kemelut dalaman Bersatu memuncak apabila Hamzah dipecat oleh parti itu pada 13 Feb lalu. Sehari kemudian akaun Facebook rasmi Bersatu membuat kejutan apabila hantaran yang dimuat naik jelas menyerang kepimpinan parti terbabit.
Masalah terbesar selesai
Selain berunsur kritikan – sama ada secara langsung atau tidak – pihak yang terlibat turut membuat hantara hasut maya terhadap para pemimpin kanan Bersatu.
Antara hantaran yang dimuat naik pada akaun rasmi Bersatu itu ialah sindiran terhadap Muhyiddin: “Macam mana nak jadi PM kalau MP (ahli parlimen) sendiri pun tak sokong? 5 orang je dengan dia. Main futsal pun belum tentu cukup.”
Pihak terbabit turut sempat memuat naik poster yang menggesa agar Muhyiddin berundur dari jawatan Presiden Bersatu.
Dalam kenyataan hari ini, Harris Idaham menamakan empat pentadbir yang didakwa sayap Bersatu sebagai pihak yang mendalangi sabotaj berkenaan.
Seorang daripada yang didakwa bertanggungjawab ialah pegawai khas Hamzah, Ahmad Ikhwan Fadhli, serta pegawai khas Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Meor Naqiuddin Shamsudin.
Wan Ahmad Fayhsal merupakan bekas ketua Pemuda Bersatu dan kemudian menganggotai majlis pimpinan tertinggi (MPT) parti berkenaan sebelum dia digantung serta dipecat.
Harris Idaham yang juga Pengerusi Bersatu Balik Pulau menambah, Ahmad Ikhwan sempat memecat enam individu yang turut memiliki akses kepada akaun berkenaan, termasuk ketua penerangannya, Tun Faisal Ismail Aziz; pegawai media Muhyiddin, Ikhmal Abu Bakar; dan ahli MPT, R Sanjeevan.

Malaysiakini telah menghubungi Ikhwan untuk mendapatkan komennya.
Sementara itu Meor Naqiuddin memberitahu Malaysiakini dia “gembira” apabila “masalah terbesar” dialami Bersatu sudah berjaya ditangani oleh parti terbabit.
Pun begitu, dia memaklumkan aksesnya ke atas akaun tersebut
“Alhamdulillah, masalah terbesar Bersatu – mendapatkan semula akses ke halaman rasmi parti – telah diselesaikan,” katanya.
Menurut Meor Naqiuddin dia disingkirkan daripada pentadbir akaun tersebut pada petang 13 Feb lalu tanpa sebarang notis sebelum dilantik semula oleh Ahmad Ikhwan.

“Sebagai ahli exco Pemuda Bersatu, saya bersyukur kerana telah dilantik semula sebagai pentadbir halaman rasmi parti.
“Ia adalah pengiktirafan yang telah lama diharapkan oleh Harris. Hari ini, beliau akhirnya menerima pengiktirafan itu,” katanya secara sinis.
Dia yang masih menjadi ahli Bersatu menambah, jumlah pentadbir akaun media sosial rasmi Bersatu kini lebih ramai berbanding ahli parlimen yang masih menyokong Muhyiddin.
Kem Hamzah mendakwa Ahli Parlimen Larut itu menerima sokongan 19 daripada 25 ahli parlimen parti terbabit dengan 16 daripadanya menandatangani kenyataan yang menyokong gesaan agar Muhyiddin berunsur.
