Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Semalam bukan kali pertama saya bersama rakan-rakan turun berdemonstrasi menuntut Azam Baki ditangkap.

Apakah kebalnya penjawat awam bermasalah ini sehingga masih dikekalkan walaupun selepas tiga kali pertukaran Perdana Menteri?

Lebih lucu, PMX sendiri pernah menjadikan nama Azam Baki sebagai modal politik ketika berada di bangku pembangkang.

Namun, beliaulah juga yang menyambung kontrak perkhidmatan Azam, seolah-olah tiada lagi individu berkelayakan untuk mengisi jawatan penting tersebut.

Tidak seperti kebanyakan parti politik lain, pendekatan Muda tidak berpartisan, sebaliknya berpaksikan kepentingan negara.

Sejak awal, kami berpendirian bahawa Azam ibarat barah yang mesti disingkirkan daripada sistem pentadbiran negara.

Sebagai ketua badan pencegahan rasuah negara, kedudukan Azam bukan sahaja menuntut tahap integriti yang tinggi, malah perlu diyakini sepenuhnya oleh rakyat.

Sudah terang lagi bersuluh, Azam gagal memenuhi kedua-dua tuntutan ini.

Belian saham melebihi had nilai

Pertama, pemilikan saham oleh Azam sendiri melanggar Peraturan 17(i) Pekeliling Pengurusan Tatakelakuan dan Tatatertib Pegawai Awam 2024, yang menetapkan bahawa penjawat awam tidak dibenarkan membeli saham melebihi nilai RM100,000 dalam mana-mana satu syarikat.

Menurut laporan berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia tahun lalu, Azam dilaporkan pernah memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd dengan nilai semasa hampir RM800,000.

Kedua, meskipun pembelian saham tersebut boleh dikecualikan melalui kebenaran Jabatan Perkhidmatan Awam, pemilikan berkenaan tetap meletakkan Azam dalam situasi konflik kepentingan.

Contoh terdekat ialah apabila Velocity Capital mempunyai kepentingan dalam MMAG Holdings, yang pengerusi lembaga pengarahnya (dan pemegang saham besar) pernah diduki Farhash Salvador, bekas Setiausaha Politik PMX.

Hubungan yang diragui

Velocity Capital juga pernah dikaitkan dengan Victor Chin, yang dilaporkan sebagai salah seorang daripada “mafia korporat” terlibat dalam elemen beunsur jenayah dan pernah disiasat oleh badan berkuasa seperti LHDN dan SPRM itu sendiri.

Dalam konteks ini, Muda tidak percaya Azam mampu bersikap benar-benar bebas dan berkecuali sepanjang tempoh pegangan saham tersebut.

Keadaan ini jelas memudaratkan kepentingan negara, lebih-lebih lagi apabila laporan Bloomberg menyatakan bahawa terdapat suatu “Seksyen D” SPRM mempunyai kuasa menyiasat syarikat tersenarai awam, termasuk yang pernah melibatkan kepentingan MMAG.

Siasatan tidak bebas

Muda tidak berpuas hati apabila barisan Kabinet sekadar mencadangkan Jawatankuasa Khas Siasatan untuk menyiasat isu pemilikan saham semata-mata, sedangkan permasalahan ini jauh melangkaui soal prosedur.

Azam juga tidak direhatkan sepanjang tempoh siasatan. Keadaan ini membuka ruang kepada kemungkinan berlakunya usaha menjejak kebocoran maklumat atau menyusun naratif bersama pihak-pihak yang dinamakan dalam laporan Bloomberg.

Akhir sekali, kebebasan mutlak jawatankuasa ini wajar dipersoalkan apabila pihak yang menyiasat dan pihak yang disiasat kesemuanya dilantik serta berada di bawah budi bicara Perdana Menteri.

Dengan mengambil iktibar daripada sejarah hitam 1MDB, sebuah badan siasatan bebas seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja wajar ditubuhkan bagi memastikan siasatan yang benar-benar telus dan menyeluruh.

Oleh itu, saya menyeru anak-anak muda agar bangkit menyuarakan tentangan dan tidak bersikap seperti kambing yang mengikut tuannya.

Lawan tetap lawan!


RAHMAT AMRAN ialah Ketua Biro Mobilisasi Muda dan Aktivis Sosial.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS