Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bersatu dah tiada masa depan' - Wan Saiful tarik balik rayuan pemecatan
Diterbitkan:  Feb 16, 2026 11:15 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, menarik balik rayuan pemecatannya daripada Bersatu berkuat kuasa serta merta dengan menyifatkan parti itu sudah tidak memiliki masa depan.

Dalam satu kenyataan, Wan Saiful berkata tindakan terhadapnya sebelum ini menunjukkan sikap hipokrasi presiden parti itu, Muhyiddin Yassin.

Antara tuduhan yang dihadapinya ialah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif (dan lanjutannya ialah Majlis Presiden) dalam PN, yang kini dilakukan Muhyiddin.

"Perkara yang sama dilakukan oleh Muhyiddin Yassin hari ini. Inilah perkara yang dia tulis dalam suratnya kepada Presiden-Presiden parti dalam PN.

"Inilah hipokrasi Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya di Facebook.

Berdasarkan salinan surat yang dihantar Wan Saiful kepada lembaga rayuan Bersatu bertarikh semalam, ahli Parlimen itu percaya parti berkenaan telah menyimpang daripada perjuangan asalnya.

Dia juga mengatakan Muhyiddin merelakan dirinya untuk dipengaruhi oleh Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali.

“Saya berpandangan bahawa Bersatu sudah tidak ada masa depan kerana Muhyiddin Yassin selaku presiden merelakan diri untuk dipengaruhi dan dikuasai oleh Azmin Ali.

“Ini menyebabkan Bersatu lari jauh daripada agenda rakyat kepada hanya memperjuangkan agenda dan cita-cita peribadi.

“Maka dengan itu saya menarik balik rayuan berkuat kuasa serta-merta,” kata Wan Saiful.

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu dipecat oleh lembaga disiplin parti tahun lalu selepas didapati bersalah melanggar perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuannya.

Wan Saiful kemudian mendedahkan tindakan terhadapnya dibuat berdasarkan beberapa aduan, termasuk dakwaan bahawa dia berusaha menubuhkan majlis eksekutif baru PN.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Bersatu Khlir Mohd Nor juga dijangka berdepan tindakan disiplin daripada parti itu.

Ini selepas dia menghadiri perjumpaan yang dianjurkan oleh bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, walaupun terdapat amaran tegas daripada Azmin agar ahli parti tidak berhubung dengan mereka yang telah dipecat.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamarudin Md Nor, dilaporkan berkata Khlir, yang juga Ahli Parlimen Ketereh, sepatutnya sedar akibat daripada tindakannya.

"Bagi kesalahan ini, tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli atau wakil rakyat adalah di bawah bidang kuasa pimpinan pusat.

"Tindakan dibuat di peringkat pusat dan Datuk Khlir sendiri mengambil risiko. Jadi saya tidak boleh menjangka apa tindakan yang akan dilakukan oleh pimpinan pusat selepas arahan itu ternyata diingkari.

"Datuk Khlir menjadi perhatian di semua radar, bukan radar negeri sahaja, radar pusat pun ada. Dia sewajarnya menjangkakan ada tindakan yang bakal diambil ke atas dirinya," katanya.

Sementara itu Ketua penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, “mengalu-alukan” pengumuman Wan Saiful Wan Jan itu.

Dia berkata ahli Parlimen tersebut sepatutnya berbuat demikian sejak dahulu lagi, bukannya “merosakkan parti” dari dalam.

"Alhamdulillah, itu sebaiknya. Sepatutnya sejak awal lagi dah keluar parti apabila tak boleh menerima keputusan pemilihan parti dan PAT2024, PAT2025, dan apabila memandang rendah parti sendiri.

"Tak wajar sampai merosakkan parti dan membina permusuhan kalau tak boleh bersama," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS