Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Amanah tetap mahu Azam direhatkan
Diterbitkan:  Feb 16, 2026 2:23 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Desakan supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki direhatkan terus berkumandang walaupun dia semalam enggan mengambil cuti sementara siasatan berjalan.

Kira-kira 24 jam selepas penolakan itu, Pemuda Amanah tampil menuntut perkara itu demi prinsip tadbir urus yang baik serta keperluan mempertahankan integriti institusi penguatkuasaan negara. 

“Sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, sebarang kontroversi yang menimbulkan persoalan awam wajar ditangani secara profesional dan berhemah bagi mengelakkan persepsi konflik kepentingan,” kata Danial Al-Rashid.

Azam semalalam menegaskan bahawa dia tidak perlu bercuti susulan itu.

"Saya tak perlu bercuti. Kalau nak bercuti saya bagi tahu berapa ramai kena tuduh sekarang ni di mahkamah (tetapi) masih lagi bertugas?

"Ada orang (bekas) menteri kewangan pun masih lagi (bertugas ketika kes dalam siasatan), apa masalahnya? Saya ada buat jenayah kah?” katanya.

Azam Baki

Danial yang juga Adun Batu Tiga berkata, tindakan merehatkan sementara adalah satu langkah pentadbiran yang matang dan bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya bertujuan memberi ruang kepada proses siasatan berjalan tanpa campur tangan.

Dia menegaskan prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” tetap dihormati, namun dalam masa sama integriti dan kredibiliti institusi mesti diutamakan.

“Malaysia memerlukan institusi yang diyakini rakyat, dan keyakinan itu hanya boleh diperkukuhkan melalui ketelusan serta kebertanggungjawaban,” katanya lagi.

Pemuda Amanah, tambahnya, kekal komited mempertahankan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik demi masa depan negara.

Azam, sebagai penjawat awam, berdepan dakwaan pemilikan saham melebihi had yang dibenarkan. SPRM yang dipimpinnya pula didakwa terlibat dalam komplot “mafia korporat” untuk mendapatkan penguasaan dalam sesebuah syarikat.

Azam berkata semua pengisytiharan kewangan dan asetnya dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam yang terpakai dan melalui saluran rasmi seperti yang ditetapkan untuk setiap penjawat awam.

Dalam kes ‘mafia korporat’, SPRM menegaskan tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif, serta melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (subjudis) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

Terdahulu, anggota Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan lapan anggota parlimen PKR serta Bersih menuntut Azam bercuti atau digantung tugas sementara siasatan dijalankan berhubung dakwaan pemilikan 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat.

Kata mereka langkah itu penting bagi memastikan proses siasatan berjalan secara bebas, telus dan tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, tiada keperluan untuk merehatkan dan menekankan bahawa kerajaan menyerahkan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes terbabit secara teliti dan telus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS