Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontroversi bos SPRM: Anwar punca masalah, kata Pejuang
Diterbitkan:  Feb 16, 2026 2:23 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Pejuang hari ini menyifatkan kontroversi melibatkan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai bukti wujud kegagalan sitemik dan Anwar Ibrahim turut bertanggungjawab selaku perdana menteri.

Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata isu yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, tidak hanya melibatkan agensi penguat kuasa terbabit.

“Ia bukan sahaja mengenai Azam tetapi PMX (Anwar),” katanya dalam kenyataan melalui media sosial hari ini.

Rafique yang juga seorang peguam menjelaskan khidmat Azam di SPRM dilanjutkan atas nasihat Anwar sendiri.

Pada masa sama, katanya, Anwar pula dilihat begitu defensif dalam isu tersebut sehingga mempertahankan Azam daripada ditukarkan.

Antara lain, kata Rafique, Anwar menegaskan bahawa Azam akan disiasat oleh sebuah jawatankuasa khas bebas. Namun pada pandangan Pejuang, tindakan tersebut adalah “tidak masuk akal.”

“Panel (dalam jawatankuasa khas tersebut) yang anggotai tiga orang itu pula semuanya dilantik atau dilanjutkan perkhidmatan mereka atas nasihat perdana menteri.

“Siapa perdana menteri itu? Anwar,” katanya lagi.

Untuk rekod, kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti dakwaan dibuat Bloomberg terkait pemilikan saham oleh Azam dalam dua syarikat kewangan.

Azam sudah menafikan dia terlibat dalam sebarang salah laku. Dia juga berjanji untuk memberikan kerjasama penuh kepada badan yang menjalankan siasatan berkenaan.

Jawatankuasa khas itu diketuai Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar. Dua lagi anggotanya ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Rafique juga membangkitkan kebimbangan mengenai komitmen kerajaan untuk membasmi rasuah dengan mendakwa tiada orang “maha kaya” yang telah ditangkap setakat ini.

“Yang rakyat lihat ialah hanya mereka yang tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri saja yang ditahan, disiasat, atau diugut siasat,” katanya.

Contoh paling mudah, kata Rafique, ialah kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini berdepan dengan 47 pertuduhan jenayah.

Kata Rafique, kes itu dibicarakan sejak zaman perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad, sehingga perdana menteri kesembilan, Ismail Sabri Yaakob.

Apabila Anwar dilantik menjadi perdana menteri ke-10, dakwa Rafique, kes Ahmad Zahid bertukar stagus menjadi lepas tanpa dibebaskan (DNAA).

“Akhirnya kita perlu sedar. Kita perlu terus terang. Kita kena bersetuju bahawa Anwar adalah masalahnya,” kata Rafique.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS