Tahun Ular yang suram bagi pasangan berusia 80-an di Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur dan peralihan kepada Tahun Kuda juga tidak kelihatan memberangsangkan buat mereka.
Sebaik sahaja cuti Tahun Baru Cina tamat, pasangan itu kemungkinan kehilangan rumah mereka yang berusia 60 tahun, sekali gus hilang tempat tinggal akibat percanggahan ukuran tanah mereka.
Bercakap bagi pihak keluarga, salah seorang anak perempuan pasangan itu, Lai berkata ibu bapanya telah diberi notis pengusiran sembilan bulan lalu dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk projek peluasan jalan di kawasan itu.
Pasangan itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik dan Puan Low, diberitahu bahawa tiga perempat daripada rumah mereka, serta struktur bersebelahan yang menempatkan seorang lagi anak perempuan mereka, akan dirobohkan untuk memberi laluan kepaa projek itu.
Hanya seperempat daripada rumah sedia ada akan tinggal, manakala dapur, tandas dan bilik tidur milik anak lelaki mereka yang telah meninggal dunia akan dirobohkan.
“Jika mereka membongkar rumah kami seperti itu, seluruh rumah akan runtuh. Ini bermakna bilik arwah abang saya akan hilang,” kata Lai kepada Malaysiakini.
“Dapur akan hilang. Tandas akan hilang. Macam mana mahu tinggal di rumah ini?” kata Lai.

Pasangan itu pada mulanya diberi kelonggaran untuk Tahun Baru Cina, tetapi memikirkan kontraktor akan kembali selepas cuti menyebabkan mereka diselubungi keresahan.
“Ibu bapa saya sentiasa menangis, dan mereka tidak dapat tidur. Mereka sudah sangat tua, namun setiap pagi, hujan atau panas, mereka masih perlu keluar menjual nasi,” kata Lai.
Dia menambah bahawa kemampuan kewangan keluarga yang terhad menyebabkan mereka tidak dapat memperoleh rumah baru, jadi ibu bapanya mungkin akan kehilangan tempat tinggal jika rumah mereka akhirnya dirobohkan.
Isu berusia 70 tahun
Persatuan Kebajikan Biro Bantuan Sentul, sebuah NGO yang membantu pasangan itu, mendakwa bahawa masalah itu bermula lebih 70 tahun yang lalu, ketika penempatan Jalan Kolam Air mula-mula dibuka.
Penempatan itu dibuka lebih awal daripada DBKL yang ditubuhkan pada tahun 1972, kata penasihat kumpulan itu, M Saravanan.
“Penduduk pada asalnya membina rumah di kawasan itu berdasarkan pemahaman tidak formal tentang sempadan lot mereka.
“Pada masa itu, mereka (penduduk) tidak mempunyai hak milik yang betul dengan ukuran yang tepat. Selepas DBKL dibentuk, mereka diberikan hak milik dengan ukuran tersebut. Walau bagaimanapun, rumah-rumah tersebut telah pun dibina dan diduduki sebelum (proses) itu,” katanya.
Berdasarkan dokumen Hak Milik Bersyarat yang dilihat oleh Malaysiakini, sebidang tanah seluas 185 meter persegi telah didaftarkan di bawah nama Encik Low pada tahun 1998.

Dokumen tersebut, yang merangkumi pelan ukur tanah yang menunjukkan sempadan petak tersebut, menyatakan bahawa sempadan lot tersebut belum ditentukan melalui pengukuran dan oleh itu bersifat sementara.
Di bawah Seksyen 5 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, “hak milik bersyarat” merujuk kepada hak milik yang dikeluarkan sebelum pengukuran tanah, menunjukkan bahawa sesuatu kawasan itu adalah sementara dan belum muktamad.
Saravanan berkata perkara menjadi rumit apabila baru-baru ini didapati bahawa tanah yang didiami oleh keluarga itu selama ini bukanlah lot yang dibeli Low pada asalnya.
Petak tanah sebenar yang diperoleh Low beberapa dekad yang lalu didakwa diduduki oleh penduduk setinggan haram, kata Saravanan.

“Jika DBKL atau kontraktor merobohkan rumah itu, mereka akhirnya akan kehilangan tempat tinggal. Dia juga tidak boleh menghalau setinggan yang berada di tanahnya sekarang,” tambah Saravanan.
Notis pengusiran pertama kali disampaikan kepada penduduk termasuk Low sembilan bulan yang lalu, kata Saravanan.
Walaupun rumah-rumah lain di sekitar rumah pasangan itu telah dirobohkan, rumah mereka diselamatkan sementara waktu memandangkan tempoh Tahun Baru Cina, jelas Saravanan.
Gesa tangguh perobohan
Malaysiakini telah menghubungi DBKL dan pejabat pusat khidmat parlimen Segambut untuk mendapatkan komen.
Kumpulan Saravanan dan keluarga itu telah berulang kali cuba mendapatkan bantuan daripada pejabat Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, tetapi setakat ini, usaha ini tidak banyak membuahkan hasil.
Menurut Lai, keluarganya dan NGO itu telah merayu sokongan, termasuk bantuan daripada pejabat Yeoh untuk mendapatkan unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai perumahan sementara.

Lai berkata seorang pegawai dari pejabat Ahli Parlimen Segambut telah datang melawat ibu bapanya dan berjanji untuk meneliti nasib mereka termasuk kemungkinan mereka diberikan unit PPR untuk disewa.
Walau bagaimanapun, pejabat Ahli Parlimen Segambut masih belum menghubungi mereka dengan penyelesaian yang konkrit.
Sementara itu, Saravanan menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan kerja perobohan dan memberi masa yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah pasangan itu.
“Pertama, kami mahu menghentikan perobohan. Ia mesti dihentikan segera kerana sebaik sahaja anda merobohkan rumah mereka, mereka secara automatik akan menjadi gelandangan.
“Mereka tidak mempunyai tempat lain untuk pergi, dan pasangan itu akan serta-merta tiada tempat tinggal. Itulah perkara pertama yang perlu ditangani.
“Pihak berkuasa harus meninjau tapak dengan betul dan menyemak semula pelan. Lot yang dibelinya pada asalnya harus dikembalikan kepadanya sebelum sebarang perobohan berlaku,” katanya.
