Suhakam menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Suhakam berkata RCI perlu ditubuhkan dan tidak hanya bergantung kepada pasukan petugas khas yang mungkin tiada kuasa undang-undang yang jelas.
Suruhanjaya itu memberi respons kepada laporan yang diterbitkan oleh Bloomberg pada 12 Februari berhubung dakwaan melibatkan Azam.
Walaupun tidak mengulas dakwaan berkenaan, Suhakam berkata jika rasuah dilihat tidak ditangani dengan serius, ia boleh memberi kesan buruk kepada hak asasi manusia
“Rasuah menjejaskan kesaksamaan di sisi undang-undang, menyukarkan untuk mendapat keadilan, mengalihkan sumber awam daripada perkhidmatan penting, dan memberi kesan kepada komuniti yang lemah dan terpinggir,” katanya.

Suhakam menambah bahawa integriti, kebebasan, dan kredibiliti institusi badan antirasuah adalah sangat penting untuk melindungi hak asasi manusia.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan sebuah jawatankuasa tiga anggota yang diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk menyiasat pemilikan saham bernilai jutaan ringgit membabitkan Azam dan pematuhan terhadap peraturan perkhidmatan awam.
Namun, Dusuki berkata jawatankuasa itu tidak akan menyiasat dakwaan bahawa pegawai SPRM bekerjasama dengan individu untuk menekan pesaing perniagaan dan membantu pengambilalihan korporat.

Menggambarkan rasuah sebagai “meluas” dan “seperti kanser”, Suhakam menegaskan pemimpin politik sebelum ini juga pernah didakwa, disabitkan, dan dipenjarakan.
“Dalam perjuangan menentang rasuah, mereka yang dipercayai untuk memerangi amalan jahat ini bukan sahaja mesti bebas daripada sebarang syak wasangka salah laku, malah mesti dilihat lebih bersih daripada putih,” katanya.
Suhakam juga menegaskan bahawa mana-mana badan yang tiada kuasa memaksa saksi hadir, meminta dokumen, atau mendapatkan bukti mungkin dilihat kurang berkesan dan terhad dari segi skop dan keberkesanan.
Dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam, sekatan sedemikian boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap proses penyiasatan dan hasilnya, tambahnya.
Suhakam berkata badan penyiasatan perlu mengelak konflik kepentingan dan memisahkan fungsi penyiasatan dan pendakwaan dengan jelas.
Ia menegaskan bahawa badan yang dicadangkan tidak harus dipengerusikan oleh Peguam Negara, sebaliknya diketuai oleh hakim kanan bersara yang bebas dan dihormati, dengan menyokong cadangan pelantikan bekas Ketua Hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Keanggotaan badan itu juga perlu diperluaskan untuk memasukkan wakil yang dihormati daripada pertubuhan masyarakat sivil bagi meningkatkan kredibiliti dan keyakinan awam, tambahnya.
Suhakam turut berkata langkah-langkah pentadbiran interim yang sesuai mungkin diperlukan untuk menjaga integriti penyiasatan.
Langkah-langkah tersebut tidak harus dilihat sebagai hukuman, tetapi sebagai usaha untuk memelihara keyakinan awam dan memastikan penyiasatan dijalankan secara bebas dan tanpa campur tangan.
