Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS sokong Hamzah untuk 'kenakan' Muhyiddin, dakwa penganalisis

Sokongan yang ditunjukkan PAS terhadap Hamzah Zainudin di sebalik sikap Ahli Parlimen Larut itu yang ‘melawan’ presiden partinya sendiri ditafsir sebagai langkah untuk “mengenakan” Bersatu.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, berkata langkah semasa PAS boleh dianggap berkait dengan krisis politik di Perlis.

Dalam kemelut itu, katanya, PAS menyalahkan Bersatu sebagai punca sehingga menyebabkan parti itu kehilangan kerusi menteri besar.

Justeru, katanya, apabila Hamzah disingkirkan oleh Bersatu PAS dilihat segera membuka ruang luas dan mesra kepada bekas Timbalan Presiden Bersatu itu walaupun kejadian itu berlatarkan kes melawan pemimpin tertinggi parti.

“Kenapa mereka membuka ruang yang luas untuk menerima Hamzah atau menyokong Hamzah? Ia adalah untuk ‘kenakan balik’ Muhyiddin,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Bersatu akhirnya memecat Hamzah berkuat kuasa pada 13 Feb lalu berdasarkan fasal 9.1.4 perlembagaan parti itu. Lembaga Disiplin Bersatu mendakwa Hamzah melanggar peruntukan tersebut – yang terkait dengan isu kewajiban menjalankan kerja-kerja parti serta mengambil bahagian dalam mesyuarat serta aktviti mereka.

Pemecatan itu berlaku sebagai kemuncak pertembungan di antara kem Hamzah dan Muhyiddin yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Hamzah turut berkongsi sekeping gambar yang dipercayai dirakam di kediaman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, di Rusila, Terengganu, pada hari dia dipecat.

Persepsi tidak konsisten

Ia berlaku kurang dari dua bulan selepas Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis menggantikan Adun Sanglang dan bekas pesuruhjaya PAS negeri itu, Mohd Shukri Ramli.

Selain menyalahkan Bersatu, PAS juga menganggap kejadian tersebut melibatkan pengkhianatan. Tiga Adun parti itu yang menandatangani perakuan berkanun menolak Mohd Shukri turut dihentikan keanggotaan mereka kerana melanggar arahan kepimpinan parti.

Azmi berkata tidak timbul sangat isu PAS mengambil sikap kontradik apabila membuat pendirian berbeza di antara isu di Perlis dan Hamzah.

“Memang PAS banyak bertindak kontradik, tetapi ia akan dilakukan (juga) untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, sokongan PAS terhadap Hamzah sebagai ketua pembangkang juga boleh dibaca sebagai usaha mereka menekan Muhyiddin yang didakwa enggan melepaskan jawatan Pengerusi PN.

Gambar fail

Katanya, tindakan PAS itu memang mengundang persepsi tidak konsisten dan parti berkenaan dilihat lebih mementingkan percaturan kuasa berbanding keseragaman prinsip.

Sementara itu, penganalisis politik, Jamaie Hamil, dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyifatkan perkembangan tersebut sebagai “real politik” yang sarat dengan pertimbangan untung dan rugi.

Katanya, dalam politik sesebuah parti akan cenderung menyokong pihak yang lebih berpotensi mengukuhkan kedudukan mereka.

“Itulah yang dikatakan sebagai politik. Politik ini serba emungkin.

“Jadi dalam konteks ini, mana yang boleh mendatangkan kepentingan kepada parti itu, maka mereka akan setuju, manakala mana (pilihan) yang dilihat kurang menguntungkan akan dibiarkan saja,” katanya.

Lebih mantap berhujah di parlimen

Jamaie menambah PAS mungkin melihat Hamzah yang lebih muda berbanding Muhyiddin serta mempunyai pengaruh lebih besar dalam kalangan pimpinan Bersatu.

“Maka sokongan itu dibuat atas pertimbangan strategik,” katanya.

Jamaie juga berpandangan faktor persepsi terhadap isu yang membabitkan keluarga Muhyiddin menjadi beban politik kepada PN dan PAS, sekali gus mempengaruhi pertimbangan parti itu.

Dakwa Jamaie, PAS melihat Muhyiddin kini tidak begitu relevan dengan Bersatu.

“Mungkin salah satunya faktor kesihatan Muhyiddin sendiri, kemudian ‘parasit’ yang ada pada Ahli Parlimen Pagoh itu, kerana dia ada isu anak menantu yang lari ke luar negara.

“Maka PAS dan PN sukar untuk bersetuju bahawa mereka itu agak bersih. Kerana apa? Kerana Muhyiddin itu telah terpalit dengan masalah menantu dia.

“Kita tengok setiap kali Muhyiddin berbahas di parlimen pihak kerajaan kadang-kadang menyentuh juga isu ke mana perginya menantu Muhyiddin ini,” katanya.

Apabila krisis Bersatu begitu terbuka dan memuncak, katanya, PAS lebih memilih Hamzah berbanding Muhyiddin.

Hamzah juga, kata Jamaie, lebih mempunyai kemampuan mempertahankan hujah-hujah pihak pembangkang di parlimen.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Prof Madya Mazlan Ali berpandangan sikap diambil PAS lebih bersifat strategi politik berbanding hipokrasi.

Kata Mazlan PAS dan Muhyiddin dilihat sudah lama ‘tidak sebulu’ termasuk dalam beberapa isu terdahulu seperti penentuan calon perdana menteri dan pendirian berhubung status PN di Sabah.

Menurut Mazlan, PAS melihat kepentingan kelangsungan PN itu dan Hamzah adalah rakan strategik.

“Mungkin orang akan tafsir itu sebagai hipokrit, terpulang pada tafsiran masing-masinglah.

“Tapi PAS melihat mungkin dari sudut strategik kerana Hamzah lebih berpengaruh daripada Muhyiddin dalam Bersatu.

“Dari sudut pandang PAS, mungkin bersama Hamzah mudaratnya lebih kecil berbanding bersama Muhyiddin,” katanya.

Mazlan turut merujuk kepada sokongan 19 Ahli Parlimen Bersatu serta lebih 100 bahagian parti yang dikatakan bersama Hamzah sebagai faktor yang tidak boleh diabaikan dalam percaturan tersebut.

“Jadi PAS nampak itu dan (berpandangan) Muhyiddin dah tak ke mana,” katanya.

Dalam pada itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata kes di Perlis bersifat unik dan lebih menjurus kepada dinamika dalaman PAS sendiri.

Kemelut melibatkan Hamzah dan Muhyiddin pula, katanya, memperlihatkan kecenderungan PAS memihak kepada kepimpinan alternatif dalam Bersatu.

Katanya, perkembangan semasa menunjukkan wujud rasa tidak puas hati PAS terhadap kepimpinan Muhyiddin, termasuk diisyaratkan dengan tiadanya wakil parti itu dalam mesyuarat yang diadakan di kediaman bekas perdana menteri terbabit baru-baru ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS