Isu ketua pembangkang akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadual diadakan dalam masa terdekat.
Pemangku Timbalan Presiden Bersatu, Faizal Azumu berkata, perkara itu wajar dibincangkan dan diputuskan secara bersama dalam mesyuarat rasmi gabungan berkenaan.
“Lebih baik kalau kita boleh putuskan dalam mesyuarat Majlis PN yang akan kita adakan tak lama lagi,” katanya ketika diminta mengulas spekulasi penamaan beberapa pemimpin sebagai ketua pembangkang.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali; Naib Presiden Bersatu, Mohd Radzi Md Jidin; Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh; Presiden Parti Rakyat India Malaysia, P Punithan; Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir dan Presiden Putra, Ibrahim Ali.

Media sebelum ini melaporkan nama pemangku Timbalan Presiden Bersatu, Mohd Radzi Md Jidin dan Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berpotensi dilantik sebagai ketua pembangkang berikutan kedudukan mereka dalam hierarki kepimpinan parti dan gabungan berkenaan.
Bagaimanapun sehingga kini belum ada ketetapan mengenai perkara itu dibuat kerana difahamkan ia akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Febuari ini.
Mengulas lanjut, Faizal berkata, selain mesyuarat Majlis Tertinggi PN, satu pertemuan melibatkan presiden-presiden parti komponen juga akan diadakan bagi menetapkan perkara tersebut.
Mengulas sama ada Presiden PN, Muhyiddin Yassin sepatutnya memegang jawatan itu, Faizal berkata pihaknya terbuka dan akan menghormati keputusan majoriti ahli Majlis Tertinggi.
“Secara peribadi kita amat terbuka kerana kita bekerjasama sebagai parti komponen dan kita menghormati apa saja keputusan yang dibuat oleh majoriti ahli Majlis Tertinggi dan itu yang kita akan laksanakan, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Dominic Lau memaklumkan Muhyiddin kini berada di hospital bagi menjalani pembedahan kecil.
Menurutnya, presiden Bersatu itu memohon maaf khususnya kepada rakan-rakan PN serta masyarakat Cina kerana tidak dapat menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina hari ini.
