Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, menyifatkan siasatan SPRM terhadapnya sebagai satu bentuk intimidasi, mengaitkannya dengan tuntutannya baru-baru ini agar Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki digantung tugas.
Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi berkata SPRM "tiba-tiba giat" menyiasat dakwaan salah laku dan rasuah semasa tempoh perkhidmatannya sebagai menteri ekonomi, yang tertumpu pada dua dasar utama negara - Program Visi Silikon dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Saya tahu bahawa dakwaan-dakwaan salah laku terhadap saya yang telah melepasi jumlah melibatkan (kes bekas perdana menteri) Najib Razak adalah satu bentuk intimidasi," katanya.
Dia berkata laporan terhadapnya dibuat oleh organisasi yang merupakan "anti-perdana menteri" Anwar Ibrahim, khususnya Perkasa dan Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Dia menegaskan bahawa kedua-dua dasar yang dilancarkan oleh Anwar telah melalui pelbagai lapisan kelulusan, termasuk sokongan kabinet.
"Sejak kedua-dua dasar ini dilancarkan dan dijalankan, tidak ada satu laporan atau kontroversi yang ditimbulkan.
"Malah, pimpinan kerajaan terutamanya Anwar menggunakan kedua-dua dasar ini sebagai bukti perancangan ekonomi di bawah pentadbirannya.
"NGO dan individu yang membuat laporan SPRM juga tidak pernah menunjukkan minat atau ambil tahu mengenainya," katanya.
Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan bahawa SPRM telah membuka siasatan terhadap perjanjian RM1.1 bilion antara kerajaan dan sebuah syarikat asing.
Menurut sumber, siasatan itu susulan aduan daripada beberapa NGO yang mendakwa bahawa perjanjian itu diatur secara tergesa-gesa dan berat sebelah, dan boleh memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.
Sumber itu berkata SPRM telah mengambil beberapa dokumen berkaitan perjanjian itu daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Februari untuk membantu siasatan.
‘Tiada peranan perolehan’
Mengenai kerjasama Visi Silikon dengan pereka cip British Arm Holdings, Rafizi berkata rundingan melibatkan beberapa peringkat – daripada perbincangan antara pegawai kementerian dan ARM, kepada rundingan antara menteri yang melibatkan menteri perdagangan antarabangsa dan industri ketika itu, Tengku Zafrul Aziz dan menteri kewangan kedua, Amir Hamzah Azizan, serta penglibatan antara Anwar dan Ketua Pegawai Eksekutif ARM, Rene Haas dan pemilik SoftBank, Masayoshi Son.
Dia menegaskan bahawa Kementerian Ekonomi adalah sebuah kementerian perancangan dan tidak menguruskan perolehan atau kontrak.
“Kkerjasama dengan ARM ini sebenarnya adalah di bawah MITI dan ditandatangani oleh Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), sebuah agensi di bawah MITI.
"Sebarang pembayaran diproses oleh Mida dan ditapis/diluluskan oleh MOF," katanya, sambil menambah bahawa draf perjanjian itu telah disemak oleh Jabatan Peguam Negara sebelum kelulusan kabinet.
Justeru, Rafizi menolak dakwaan bahawa perjanjian ARM itu tergesa-gesa sebagai “tidak masuk akal”.
"Mengiyakan tuduhan itu bermakna menuduh sama ada perdana menteri lalai dalam menjalankan tugas atau tidak faham mengenai industri semikonduktor sehingga boleh diperdaya oleh saya.
"Malah, tuduhan itu seolah-olah mengatakan semua menteri yang terbabit (Tengku Zafrul dan Amir Hamzah), pegawai-pegawai kanan kerajaan, Peguam Negara dan keseluruhan Jemaah Menteri telah diperdaya oleh saya,” katanya.
Dia selanjutnya berkata “tiada satu pun bukti” bahawa dana awam telah disalahgunakan.
"Tidak ada bukti saya, mengambil wang, tidak ada bukti wang masuk ke akaun saya, tidak ada apa-apa bukti kewangan," tambahnya.
Mengenai NETR, Rafizi berkata pelan tindakan itu tidak melibatkan dana awam, perolehan, atau pelaksanaan projek oleh kementerian ekonomi.
Satu dasar di bawah NETR, jelasnya, membenarkan pihak swasta membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui dan membekalkan kuasa hijau terus kepada industri tanpa melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Syarikat-syarikat termasuk UEM Lestra, anak syarikat UEM yang dimiliki oleh Khazanah, mengumumkan pelaburan tenaga boleh diperbaharui berskala besar.
Rafizi berkata UEM Lestra akan melabur RM2.5 bilion untuk membangunkan projek tenaga boleh baharu dengan kapasiti puncak 750 MW di Segamat.
UEM Lestra juga, kata Rafizi, telah berjaya memuktamadkan jualan tenaga boleh baharu itu dengan ESR Group Limited, sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong.
"Sejak bila seorang menteri yang bertanggungjawab membangunkan dasar dituduh menyeleweng atas keputusan-keputusan yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta yang tidak ada kena mengena dengan Kementerian Ekonomi," katanya.
Dia juga menuduh pempengaruh Ariz Ramli, lebih dikenali sebagai Caprice, menghasilkan kandungan yang mendakwa bahawa dia telah menganugerahkan projek UEM Lestra kepada sebuah syarikat yang mana Rafizi mempunyai kepentingan.
Rafizi berkata dia akan membentangkan butiran lanjut dalam podcastnya minggu ini dan akan memberi Caprice peluang untuk memohon maaf atas tuduhan itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Rafizi selanjutnya berhujah bahawa masa siasatan SPRM – susulan gesaannya untuk penggantungan Azam selepas dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg – menunjukkan risiko penyalahgunaan kuasa.
"Serangan-serangan terhadap saya, terutamanya dengan tindakan SPRM yang secara tiba-tiba mahu menyiasat dasar-dasar kerajaan yang tidak ada unsur perolehan atau motif kewangan kepada saya, menunjukkan betapa bahayanya apabila seorang yang dituduh seperti Azam Baki meneruskan tugas dan memegang kuasa semasa beliau sedang disiasat," katanya.
Dia memetik kontroversi lalu yang melibatkan Azam, termasuk persoalan mengenai pemilikan saham pada tahun 2022 dan serbuan SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti selepas dakwaan terhadap pegawai kanannya.
"Sebab itu, tindakan sewajarnya ialah menggantung tugas Azam Baki serta-merta, seperti yang sepatutnya dibuat oleh Anwar dari minggu lepas lagi," tambahnya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan mengesahkan bahawa siasatan telah dibuka tetapi enggan mengulas lanjut.
