Peguam Haniff Khatri Abdulla memaklumkan pihaknya akan memfailkan saman sivil terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan kerajaan persekutuan.
Katanya, ini selepas polis tidak membenarkan dan memberhentikan penganjuran Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) di hadapan kompleks beli-belah Sogo pada 7 Februari lalu, selain menahan 20 individu sebelum acara bermula.
Haniff, yang juga ketua sementara Garah, berkata tindakan itu termasuk penahanannya serta kira-kira 19 individu lain sebelum perhimpunan berkenaan.
“Saya akan memfailkan tindakan sivil terhadap kesemua pihak yang saya namakan, termasuk Polis Diraja Malaysia, Ketua Polis Negara (Mohd Khalid Ismail), Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail) dan Perdana Menteri(Anwar Ibrahim).
“Aduan pertama kami adalah bahawa polis telah pun menyalahgunakan kuasa dalam memberhentikan satu himpunan aman yang sah dan kemudiannya telah menahan bakal peserta, bakal penceramah.
“Kenapa saya kata bakal? Sebab himpunan tak bermula pun lagi. Tidak ada satu ungkapan atau ayat yang keluar daripada mulut sesiapa pun lagi,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan penyelaras Garah, Zamri Vinoth dan penganjur bersama perhimpunan itu, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan bersama 18 individu lain sebelum perhimpunan itu berlangsung.
Mengulas lanjut, Hanif berkata laporan polis sepanjang 28 perenggan itu mendakwa polis telah melanggar hak perlembagaan untuk berhimpun serta gagal mematuhi kewajipan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan peranan pihak berkuasa untuk memudah cara perhimpunan aman.

“Laporan polis ini juga adalah terhadap pucuk pimpinan negara iaitu termasuk dan tidak terhad kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail yang mengakibatkan secara langsung dan tidak langsung menyebabkan pihak polis dicampuri secara salah sehingga diarahkan secara langsung atau tidak langsung untuk memberhentikan himpunan dan membuat tahanan dan tangkapan,” katanya.
Menurut Haniff, laporan polis berhubung perkara tersebut dibuat kerana menyifatkan tindakan yang diambil pihak terlibat sebagai salah guna kuasa dan pencabulan hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman.
Haniff turut mendakwa beberapa pihak telah mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan himpunan itu sebagai cubaan mencetuskan ketegangan kaum dan agama, sedangkan menurutnya tujuan gerakan tersebut adalah menuntut pematuhan kedaulatan undang-undang berhubung isu pencerobohan tanah dan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.
“Yang ketiganya, aduan dan laporan polis ini adalah berkaitan beberapa pihak lain yang sejak telah diumumkan oleh Garah pada 3 Februari bahawa himpunan aman akan diadakan pada 7 Februari.
“Sejak daripada pada itu beberapa pihak termasuk Pusat Komas, Pemuda MIPP dan wakil rakyat Jelutong RSN Rayer telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan menuduh gerakan Garah dan tujuan himpunan darah itu seolah-olah untuk menyebabkan porak peranda, seolah-olah untuk menghasut rakyat membuat perkara yang melanggar undang-undang tanpa mereka meneliti apakah dia tujuan gerakan dan tujuan himpunan,” katanya.
Jelas Haniff, Garah tidak menyasarkan mana-mana agama atau kaum, sebaliknya menuntut penguatkuasaan undang-undang secara konsisten terhadap semua struktur yang didakwa dibina secara tidak sah di atas tanah awam atau persendirian.
