Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Perlukah hukuman mati mandatori dihidupkan semula?

ULASAN | Boleh dikatakan hampir setiap hari kita dihidangkan dengan kes-kes pembunuhan yang mengerikan atau di luar jangkaan akal sihat. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita?

Hukuman mati mandatori dimansuhkan pada 4 Julai 2023 lalu. Menurut kerajaan, pemansuhan tersebut bertujuan menghormati hak setiap individu untuk hidup di Malaysia serta memastikan keadilan bagi semua pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) ketika itu, Ramkarpal Singh, berkata prinsip asas yang ditekankan kerajaan di sebalik setiap hukuman ialah pemulihan banduan.

Langkah itu agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi individu yang berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara setelah selesai menjalani hukuman.

Pada dasarnya hukuman gantung sampai mati masih ada tetapi ia tidak lagi bersifat mandatori.

Ini bermakna mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas perkataan hukuman gantung sampai mati akan dimasukkan perkataan “atau dipenjarakan tidak kurang dari 30 tahun penjara tetapi tidak lebih dari 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, disebat dengan tidak kurang dari 12 kali sebatan.”

Berdasarkan kenyataan timbalan menteri, ada dua tujuan yang dapat disimpulkan daripada pemansuhan hukuman mandatori tersebut iaitu :

1. Menghormati hak setiap individu untuk hidup di Malaysia dan memastikan keadilan bagi semua pihak.
2. Pemulihan banduan agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi individu yang berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Isu di sini ialah bagaimana pula hak mangsa untuk hidup? Bagaimana keadilan dapat diberikan kepada si mati dan keluarganya sedangkan kematian itu melibatkan kekejaman?

Bagaimana seseorang yang membunuh orang lain dengan kejam dapat dipulihkan?

Kebanyakan mangsa melibatkan wanita

Rasanya sukar untuk memulihkan seorang pembunuh. Kebanyakan mereka adalah psycho dan tidak berperikemanusiaan.

Kita ambil contoh pembunuh terkenal di AS yang bernama Ted Bundy – atau nama penuhnya Theodore Robert Bundy. Dia merupakan perogol dan pembunuh bersiri yang terkenal. Kisahnya juga kerap difilemkan.

Tonton filem-filem itu atau baca kisahnya dan fikirkan, wajarkan seorang pembunuh seperti Bundy diberi peluang untuk hidup? Bagaimana dengan mangsa dan keluarga mangsa?

Bundy dilahirkan pada 24 Nov 1946 di Burlington, Vermont. Dia dikatakan mempunyai hubungan yang buruk dengan bapa tirinya. Kerana sifat pemalunya Bundy menjadi sasaran pembuli.

Pun begitu Bundy juga seorang yang bijak dan mempunyai kemahiran sosial yang tinggi sehingga membolehkan dia menikmati kehidupan yang gemilang di kolej.

Kerana wajahnya tampan, Bundy menjadi kegilaan para wanita. Dengan kelebihan itulah Bundy dapat melakukan serangan seksual dan membunuh sejumlah wanita di Washington, Oregon, Colorado, Utah, dan Florida antara 1974 dan 1978.

Bundy mengaku bersalah atas 28 pembunuhan yang dipertuduhkan kepadanya. Tetapi kalau anda membaca kisah Bundy, ramai yang percaya dia bertanggungjawab melakukan ratusan pembunuhan yang kebanyakkan adalah wanita.

Bundy dihukum mati pada 1979 kerana pembunuhan yang dilakukan terhadap dua pelajar perempuan. Setahun kemudian dia sekali lagi dijatuhi hukuman mati kerana merogol dan membunuh seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

Hayat Bundy berakhir di kerusi elektrik pihak berkuasa Florida pada 1989.

Pedro Lopez yang dilahirkan pada 8 Okt 1948 di Santa Isabel, Colombia pula dikaitkan dengan lebih 300 pembunuhan. Selain di Colombia, dia juga didakwa melakukan pembunuhan di Ecuador dan Peru.

Sekurang-kurangnya satu per tiga daripada pembunuhan itu melibatkan wanita.

Apabila ditahan pada 1980, polis menemukan lebih 50 kubur mangsa yang dibunuhnya ketika dia masih remaja. Dia kemudiannya disabitkan bersalah membunuh 110 gadis di Ecuador dan mengaku melakukan 240 lagi pembunuhan di Colombia dan Peru.

Bunuh ahli keluarga sendiri

Modus operandi Lopez ialah, sebelum mengambil nyawa mangsa – yang majoritinya kanak-kanak perempuan – dia akan mengumpan mangsa ke tempat sunyi.

Di situlah dia merogol dan membunuh kanak-kanak terbabit.

Banyak lagi watak pembunuh bersiri yang anda boleh kaji seperti HH Holmes, John Wayne Gacy, Jeffrey Dahmer dan Jack The Ripper.

Saya percaya, selepas membaca kisah-kisah pembunuhan kejam itu, anda akan setuju bahawa hukuman mati mandatori wajar dikembalikan.

Di Malaysia sendiri, pembunuhan kejam makin menjadi-jadi. Pada 12 Feb lalu mayat seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badannya dikerat-kerat lalu dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah di Sabah.

Di Kota Tinggi pula seorang wanita hamil tujuh bulan maut dipercayai dibunuh suaminya menggunakan lesung batu di rumah sewa mereka di Kampung Makam.

Baru-baru ini seorang anak berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas pertuduhan membunuh ibu kandung pada 2 Feb lalu.

Beberapa kes pembunuha sebelum itu juga meminta kita memikirkan sama ada pemansuhan hukuman mandatori itu wajar atau sebaliknya.

Kita juga takut, seram dan geram membaca berita penemuan mayat wanita tanpa kepala di di tepi jalan Alor Gajah-Tampin.

Ujian DNA mengesahkan mangsa itu ialah Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023. Suspek ialah soerang lelaki yang juga bekas guru.

Kenapa kita mansuhkan hukuman mati mandatori? Adakah kita juga terpengaruh dengan perjuangan kumpulan hak asasi manusia?

Hak siapa yang hendak kita perjuangkan sebenarnya? Hak mangsa atau hak pembunuh kejam?

Dalam Islam orang yang membunuh hendaklah dibalas dengan bunuh juga. Perkara itu ada disebutkan melalui ayat ke-178 surah al-Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah orang yang mengampunkan itu mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Dalam Islam membunuh tanpa hak adalah dosa terbesar selepas syirik. Falsafah undang-undang Islam ialah untuk memelihara lima perkara utama iaitu agama, jiwa (nyawa), akal fikiran, harta dan keturunan.

Nyawa adalah sangat dilindungi di dalam Islam. Membunuh dengan niat hukumannya ialah qisas (hukuman mati) melainkan waris mangsa memaafkan dan menerima diyat (ganti rugi/pampasan).

Walaupun kita tidak menghukum berdasarkan undang-undang Islam, tetapi prinsip asas sewajarnya diterapkan iaitu melindungi mangsa dan orang ramai adalah lebih diutamakan.

Contoh-contoh yang diberikan di atas cukup mengerunkan. Walaupun hukuman mati mandatori dimansuhkan tetapi semoga hukuman mati dikenakan ke atas individu yang didapati bersalah membunuh dengan niat.

Ia boleh menjadi pengubat hati keluarga dan keadilan kepada mangsa.


SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS