Keluarga kepada Faiq Zafran Jailani, rakyat Malaysia yang ditahan di Toyama, Jepun, telah melantik peguam untuk mewakilinya.
Ini sebagai persediaan untuk Faiq dihadapkan pertuduhan ketiga pada 12 Mac ini, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim.
Bagaimanapun, Hishamuddin berkata butiran pertuduhan terbaru itu tidak boleh didedahkan kerana prosedur undang-undang Jepun hanya membenarkan maklumat diberikan kepada peguam yang dilantik.
“Faiq kini ditahan di sebuah balai polis. Keadaannya tidak terlalu teruk, tetapi untuk dapatkan makanan halal mungkin agak sukar. Dia mungkin perlu bergantung kepada sayur dan nasi.
“Ada seorang lagi tahanan dalam sel sama yang juga tidak boleh berbahasa Inggeris, jadi komunikasi agak mencabar,” katanya seperti dipetik New Straits Times, sambil menambah bahawa tarikh perbicaraan baru mungkin ditetapkan jika proses berjalan lancar.
Faiq, graduan politeknik berusia 24 tahun, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Jepun.

Dia berangkat ke Jepun pada November tahun lalu dan kemudian ditahan di Toyama.
Pada bulan lalu, dia didakwa mengikut Seksyen 246 Kanun Jenayah Jepun atas kesalahan penipuan serta Seksyen 60 kanun yang sama atas kesalahan melakukan jenayah bersama sekurang-kurangnya seorang lagi individu.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata MHO dan keluarga Faiq bekerjasama untuk mendapatkan khidmat perundangan di tengah-tengah ketidakpastian fakta kes Faiq.
“Ini kerana fakta yang dilaporkan setakat ini agak mengelirukan, khususnya sama ada Faiq ditahan bersama barang bukti atau tidak.
“Pada masa sama, keluarga percaya dia mungkin dipergunakan, namun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sehingga fakta sebenar diketahui. Buat masa ini, kami menghormati proses undang-undang di Jepun,” katanya.
Menurut laporan New Straits Times lagi, berdasarkan maklumat awal, Faiq didakwa ditahan bersama wang dan emas bernilai kira-kira RM500,000.
Bantuan yang diperlukan
Pada 23 Januari lalu, ibu Faiq, Noor Zuhaini Ismail menggesa pihak berkuasa Malaysia dan Jepun membantu mengesan anaknya.
Menurutnya, Faiq berlepas ke Jepun pada 8 November, dan pada mulanya memaklumkan keluarga bahawa dia ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Keluarga kemudian mendapat tahu yang dia sebenarnya menaiki penerbangan ke Tokyo.
“Semasa berada di Jepun, anak saya berhubung dengan rakan-rakannya melalui Snapchat dan WhatsApp sehingga 18 November. Namun, pada 19 November, kami terputus hubungan dengannya semasa dia berada di Tokyo.
“Saya juga diberitahu dia sepatutnya pulang ke Malaysia pada 29 November, tetapi dia tidak kembali seperti yang dijanjikan,” katanya.
Noor Zuhaini kemudian membuat laporan polis pada 30 November, dan kes itu dirujuk kepada Kementerian Luar pada 8 Disember.
Semalam, Wisma Putra mengesahkan Faiq ditahan di Balai Polis Toyama Minami.
Dalam kenyataan, Wisma Putra berkata pemakluman kepada pihak kedutaan berhubung penahanan individu bukanlah dibuat secara automatik, kerana ia hanyalah hak yang boleh digunakan atas permintaan individu itu sendiri.
Ini kerana Jepun adalah negara yang menandatangani Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963.
Menurut Wisma Putra, pegawai konsular sedia memberi segala bantuan yang diperlukan Faiq tetapi tertakluk kepada persetujuannya serta dalam ruang lingkup undang-undang Jepun.
Namun, kata Wisma Putra lagi, pihak kedutaan tidak boleh campur tangan dalam proses kehakiman mahupun menuntut pembebasan mana-mana tahanan, namun pada masa sama akan terus memantau perkembangan kes Faiq.
