Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abim: Jangan jadikan agenda antirasuah senjata politik, alat ugutan
Diterbitkan:  Feb 19, 2026 9:15 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memberi amaran keras agar agenda memerangi rasuah tidak diselewengkan menjadi senjata politik atau alat ugutan untuk mengekalkan kuasa.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, menegaskan bahawa rakyat kini mula merasa resah dan keliru apabila isu rasuah seolah-olah dipersembahkan dalam bentuk retorik dan perang propaganda semata-mata.

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

“Rakyat tidak akan percaya kepada perang antirasuah jika tindakan dilihat selektif, tidak konsisten, atau berubah mengikut musim politik.

“Keadilan yang hanya tegas kepada musuh tetapi lunak kepada rakan bukan ‘reform’ dalam erti kata sebenar. Ia adalah pengkhianatan terhadap prinsip keadilan dan pencabulan terhadap kepercayaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

'Bukan dipimpin melalui ketakutan'

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi menggesa kerajaan dan semua pihak agar menghentikan budaya menggunakan kes rasuah sebagai bahan tawar-menawar politik atau alat untuk menutup kelemahan tadbir urus.

Tegasnya, sesebuah negara tidak seharusnya dipimpin melalui "permainan fail" atau penyebaran tangkap layar yang bertujuan mencetuskan ketakutan.

“Negara tidak boleh dipimpin melalui ketakutan dan permainan fail, dokumen mahupun tangkap layar. Negara mesti dipimpin melalui undang-undang, ketelusan, dan integriti institusi.

“Abim menuntut agar agenda anti rasuah dipulihkan kepada landasan sebenar melalui reformasi institusi yang jelas, berani, dan boleh diukur, katanya.

Antara langkah yang digesa oleh pertubuhan belia itu termasuklah:

  • Kebebasan SPRM: Memastikan badan pencegah rasuah itu bebas daripada pengaruh eksekutif.

  • Pemisahan kuasa: Mempercepatkan pemisahan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

  • Akta Pembiayaan Politik: Menggubal undang-undang yang telus bagi memantau dana parti politik.

  • Sistem Perolehan: Memantapkan proses tender kerajaan bagi menutup ruang kronisme.

'Lemah pada pelaksanaan'

Abim turut mengingatkan kerajaan bahawa "hipokrasi politik" tidak boleh dijadikan alasan untuk rakyat berputus asa dalam isu rasuah.

Namun, kerajaan juga , kata Ahmad Fahmi tidak boleh mengharapkan sokongan berterusan jika hanya sekadar "gah" di pentas ucapan.

“Kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat terus percaya jika agenda reformasi hanya kuat pada ucapan tetapi lemah pada pelaksanaan.

“Rakyat menilai melalui tindakan, bukan semata kepada slogan,” katanya.

Sempena Ramadan, Abim turut menyeru para pemimpin agar kembali kepada nilai takwa dan menghentikan politik bermusim yang hanya mengorbankan kepercayaan rakyat demi kepentingan peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS