Dewan Pemuda PAS Malaysia membantah keras tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap aktiviti ‘Street Dakwah’ di Bukit Bintang, sambil mempersoalkan sama ada wujud unsur pilih kasih dalam operasi tersebut.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS, Mohamed Sukri Omar berkata, tindakan menghantar DBKL seramai 12 anggota untuk menyita bahan dakwah milik organisasi Multiracial Reverted Muslims (MRM) petang semalam adalah sesuatu yang melampaui kewajaran.

“Tindakan menutup dan merampas bahan dakwah ketika hanya seorang sukarelawan bertugas menimbulkan persoalan besar dari sudut prinsip keadilan pentadbiran.
“Selama 14 tahun aktiviti Street Dakwah berlangsung di lokasi tersebut secara aman. Ia bukan aktiviti jual beli, bukan program politik, dan tidak mengganggu lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dakwa penguatkuasaan terpilih
Sukri turut mendakwa hanya reruai dakwah milik MRM yang menjadi sasaran rampasan, sedangkan aktiviti komersial lain di kawasan sekitar dibiarkan tanpa gangguan.
Dakwanya, sekiranya benar terdapat polisi baharu melibatkan permit, pihak berkuasa sepatutnya memberi maklum maklum balas secara bertulis dan berperingkat, bukannya melalui tindakan mengejut.

“Jika semua pihak lain memiliki permit, maka jelaskan kepada umum supaya tidak timbul persepsi penguatkuasaan terpilih.
“Jika tidak, maka prinsip keadilan menuntut tindakan yang konsisten terhadap semua.
“Kenapa aktiviti dakwah yang bersifat sukarela dan tidak komersial ini dilihat sebagai ancaman?” soalnya.
Semalam DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan penguatkuasaan terhadap khemah dan bahan milik MRM di Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut DBKL penguatkuasaan di hadapan Bangunan Yayasan Selangor itu diambil selepas pemantauan mendapati berlaku pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di laluan pejalan kaki yang perlu bebas daripada halangan bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.
“Petugas DBKL telah hadir ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat. Walau bagaimanapun, selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan.
“Sehubungan itu, DBKL telah menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa. Sepanjang pelaksanaan tindakan tersebut, pihak yang bertanggungjawab masih tidak hadir untuk memberikan penjelasan,” menurut kenyataan itu.
Semalam media memetik pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang juga pengasas MRM mendakwa tiada sebarang notis saman atau senarai inventori dikeluarkan ketika proses rampasan dilakukan bagi menyatakan kesalahan serta butiran barangan yang dirampas.

Dakwanya, pihaknya telah menjalankan aktiviti dakwah di lokasi sama sejak 14 tahun lalu tanpa sebarang masalah, malah sebelum ini tidak pernah dimaklumkan keperluan mendapatkan permit.
Dia juga mendakwa pihaknya tidak menjalankan sebarang aktiviti jualan serta mengganggu lalu lintas.
Persoal hak urus pihak ketiga
Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda PAS turut membangkitkan dakwaan wujudnya pihak tertentu yang mendakwa mempunyai hak mengurus kawasan awam tersebut untuk tujuan sewaan komersial.
Sehubungan itu, Sukri menggesa DBKL menjelaskan dasar pengurusan kawasan pejalan kaki di Bukit Bintang bagi mengelakkan hak penggunaan awam disalah guna untuk kepentingan pihak ketiga.

“Kami percaya DBKL adalah institusi profesional. Justeru kami menggesa agar penjelasan rasmi diberikan dan ruang dialog dibuka segera supaya isu ini dapat diselesaikan secara matang.
“Undang-undang mesti ditegakkan secara konsisten. Penguatkuasaan mesti bebas daripada persepsi pilih kasih,” katanya sambil menegaskan bahawa dakwah secara aman adalah hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
