Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tekanan mental, kewangan punca tragedi keluarga meningkat - MMA
Diterbitkan:  Feb 19, 2026 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyeru tindakan segera melibatkan seluruh masyarakat (whole-of-society action) bagi menangani peningkatan tragedi melibatkan keluarga.

MMA juga mengingatkan masalah kesempitan kewangan dan isu kesihatan mental yang dibiarkan akan membawa kepada keganasan serta krisis dalam masyarakat.

Presiden MMA, Dr Thirunavukarasu Rajoo menggambarkan laporan mutakhir ini berhubung tragedi yang menimpa keluarga sebagai peringatan jelas berkenaan trend bunuh diri dan tekanan psikologi yang membimbangkan, terutama dalam kalangan individu bekerja yang berdepan tekanan sosioekonomi yang berat.

“Berdasarkan pengalaman kami di barisan depan, doktor kini semakin kerap melihat kesan kehilangan pekerjaan, beban hutang melampau, ketidakmampuan menyara keluarga, serta perasaan putus asa yang mendalam, yang muncul sebagai kemurungan, keresahan, konflik keluarga dan, dalam kes yang paling teruk, kecenderungan ke arah tindakan bahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Thirunavukarasu, hanya sedikit aspek kesejahteraan individu ditentukan di institusi kesihatan, kerana kira-kira 40 peratus aspek kesihatan mental dipengaruhi faktor sosioekonomi — seperti jaminan pendapatan, perumahan, keselamatan makanan, pendidikan dan persekitaran masyarakat yang selamat.

“Apabila keperluan asas ini tidak terjamin, kesihatan mental boleh merosot dengan cepat — selalunya sebelum seseorang itu mendapatkan bantuan profesional.

“Justeru, dasar sosioekonomi pada hakikatnya adalah dasar kesihatan,” katanya lagi.

Dr Thirunavukarasu Rajoo

Kenyataan itu susulan tragedi mengejutkan di Kuantan, Pahang, awal minggu ini, apabila lima sekeluarga ditemukan meninggal dunia di rumah mereka dalam kejadian yang dipercayai melibatkan tindakan bunuh dan bunuh diri.

Menurut Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, siasatan awal mendapati kesempitan kewangan mungkin menjadi punca tragedi tersebut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengakui usaha kerajaan seperti subsidi bersasar dan program basmi kemiskinan, Dr Thirunavukarasu berkata masih ramai keluarga yang terus terhimpit meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan.

“Kebimbangan kami ialah apabila keluarga tetap tidak dapat memenuhi keperluan asas — tidak cukup pendapatan untuk makanan, sewa, pendidikan anak-anak atau ubat penting.

“Dalam keadaan sebegini, tekanan terhadap kesihatan mental dan hubungan keluarga boleh menjadi terlampau berat, dan ada kala membawa kepada tindakan terdesak.

“Untuk mengelakkan tragedi sebegini, pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat diperlukan. Harus ada penyelarasan antara sektor kesihatan, kewangan, ekonomi, pendidikan dan kebajikan sosial agar tekanan psikologi dan tindakan berisiko bukan hanya dilihat sebagai isu kesihatan, tetapi sebagai kesan langsung keadaan sosioekonomi,” katanya.

Dia juga menyeru agar jaringan kebajikan sosial diperkasa untuk mengenal pasti lebih awal isi rumah yang terkesan, termasuk melalui saringan kesihatan mental.

Penjagaan mental tanpa stigma

Di peringkat sistem kesihatan, Dr Thirunavukarasu menegaskan akses kepada penjagaan kesihatan mental tanpa stigma perlu dipertingkat — termasuk saringan tekanan secara rutin, rujukan lebih cepat kepada ahli psikologi dan psikiatri, serta penggunaan meluas kaunseling dalam talian.

Dia turut menekankan pentingnya liputan media yang beretika untuk mengelakkan sensasi dan mengurangkan risiko peniruan oleh khalayak, di samping memastikan orang ramai disalurkan kepada talian bantuan dan perkhidmatan sokongan yang tersedia.

Dr Thirunavukarasu berkata MMA sedia bekerjasama dengan kerajaan, agensi kebajikan, masyarakat sivil dan pemimpin masyarakat bagi menangani akar punca tragedi seperti ini.

“Usaha menstabilkan pendapatan, menjamin keselamatan makanan dan perumahan, serta memperkukuh perlindungan sosial bukan sekadar agenda ekonomi — ia adalah intervensi kesihatan yang penting bagi menyelamatkan nyawa dan melindungi keluarga.

“Sebagai doktor, kami merawat penyakit. Sebagai negara, kita mesti mencegah rasa putus asa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS