ULASAN | Isu rumah ibadat merupakan satu perkara yang sensitif dalam masyarakat majmuk Malaysia dan perlu ditangani dengan penuh hikmah, kebijaksanaan serta kematangan semua pihak.
Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Kepelbagaian ini adalah kekuatan yang perlu dipelihara, bukan dipertikaikan.
Dalam menangani isu rumah ibadat, pendekatan yang diambil mestilah berpaksikan kepada prinsip asas negara, iaitu Rukun Negara.
Kepercayaan kepada Tuhan
Negara kita mengiktiraf bahawa agama dan kepercayaan adalah asas pembentukan masyarakat yang berakhlak serta berintegriti. Rumah ibadat bukan sekadar bangunan fizikal, tetapi pusat pembinaan nilai moral dan perpaduan komuniti.
Oleh itu, hak setiap komuniti untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni perlu dihormati.
Kesetiaan kepada raja dan negara
Sebarang isu berkaitan rumah ibadat hendaklah ditangani melalui saluran yang sah dan berlandaskan sistem serta institusi negara.
Emosi dan sentimen tidak boleh mengatasi prinsip kesetiaan kepada negara dan kestabilan nasional.
Keluhuran perlembagaan
Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dengan syarat ia diamalkan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Penyelesaian terhadap sebarang isu hendaklah berasaskan peruntukan Perlembagaan dan prinsip keadilan.
Kedaulatan undang-undang
Pembinaan, pemindahan atau pengurusan rumah ibadat perlu mematuhi undang-undang serta garis panduan pihak berkuasa tempatan dan perancangan bandar.
Keseimbangan antara hak individu dan kepentingan awam mesti sentiasa dijaga.
Kesopanan dan kesusilaan
Dalam menghadapi isu yang sensitif, tutur kata dan tindakan semua pihak hendaklah mencerminkan adab, rasa hormat dan tanggungjawab sosial.
Perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa kepada perpecahan. Pendekatan dialog, rundingan dan persefahaman perlu menjadi asas dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.
Semua pihak digesa untuk duduk semeja dan mencari titik persamaan demi kepentingan bersama.
Sebagai pemimpin dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita harus memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan, bukan tembok perpecahan. Rukun Negara tidak boleh sekadar menjadi lafaz, tetapi perlu dihayati dalam setiap tindakan dan keputusan.
Dengan semangat saling menghormati dan berpandukan undang-undang, isu rumah ibadat dapat ditangani secara adil, harmoni dan matang demi kestabilan serta kesejahteraan negara.
Akhir kata, sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam.
Semoga bulan yang penuh keberkatan ini membawa kedamaian, kesabaran dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
S SARAVANAN M SINAPAN adalah presiden Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
