GLOBAL | Mahkamah Korea Selatan pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas presiden Yoon Suk Yeol yang gagal melaksanakan undang-undang tentera pada 2024, lapor Agensi Berita Yonhap.
Dalam keputusan pertama kes itu, Mahkamah Daerah Pusat Seoul mensabitkan Yoon atas kesalahan mengetuai pemberontakan melalui cubaan undang-undang tentera itu, namun menjatuhkan hukuman lebih ringan berbanding hukuman mati yang disyorkan pendakwa raya khas.
Keputusan dibuat 14 bulan selepas bekas presiden itu membuat pengisytiharan mengejut perintah darurat pada 3 Dis 2024 dengan tujuan yang dinyatakan untuk menghapuskan unsur anti-negara, walaupun arahan itu ditarik balik enam jam kemudian susulan undian oleh Perhimpunan Kebangsaan.
"Adalah sukar untuk menafikan yang bekas Presiden Yoon secara dalaman berniat menjadikan Perhimpunan Kebangsaan tidak dapat berfungsi dengan baik untuk tempoh yang agak lama dengan menyekat dan melumpuhkan aktivitinya melalui penghantaran tentera untuk mengepung dan menahan ahli politik utama," kata Hakim Jee Kui-youn yang mempengerusikan perbicaraan dan turut dihadiri Yoon. Perbicaraan itu disiarkan secara langsung di televisyen nasional.

"Beliau juga didapati mencetuskan rusuhan dengan menghantar tentera."
Di bawah Perlembagaan, pemberontakan ditakrifkan sebagai tindakan bertujuan menggulingkan kuasa negara di sebahagian atau seluruh wilayah atau mencetuskan rusuhan bagi menggugat Perlembagaan.
Mahkamah menyatakan yang pengisytiharan darurat sahaja tidak semestinya pemberontakan, namun dalam kes Yoon, pertuduhan itu terpakai kerana beliau bertujuan melumpuhkan fungsi sebuah badan berperlembagaan.
Mahkamah turut menegaskan yang asas kes itu adalah pengerahan tentera ke Perhimpunan Kebangsaan.

"Bekas Presiden Yoon merancang jenayah itu secara peribadi dan sebagai peneraju, serta melibatkan ramai individu," kata hakim dalam menjelaskan alasan hukuman.
" Undang-undang tentera itu melibatkan kos sosial yang amat besar dan defendan hampir tidak menyatakan permohonan maaf mengenainya," katanya lagi.
Bagaimanapun, mahkamah menyatakan yang pelan itu tidak kelihatan menyeluruh, penggunaan kekerasan fizikal adalah terhad dan bekas presiden itu tiada rekod sabitan jenayah terdahulu, berkhidmat sebagai penjawat awam selama beberapa dekad dan kini berusia 65 tahun.
Tujuh lagi tertuduh turut disabitkan kesalahan bersama Yoon, termasuk bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun, bekas Ketua Agensi Polis Negara Cho Ji-ho dan bekas Ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul Kim Bong-sik.
Bekas menteri pertahanan itu dijatuhi hukuman penjara 30 tahun, manakala Cho dikenakan hukuman 12 tahun dan bekas ketua polis Seoul 10 tahun atas peranan masing-masing dalam cubaan undang-undang tentera itu.
Yoon sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun dalam perbicaraan berasingan atas pertuduhan termasuk menghalang usaha penyiasat untuk menahannya tahun lepas.
Mahkamah yang sama juga pernah menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Presiden Chun Doo-hwan pada 1996 atas peranannya dalam rampasan kuasa 1979 yang membawanya ke tampuk kuasa serta tindakan keras tentera terhadap gerakan pendemokrasian Gwangju pada 1980.
- Bernama-Yonhap
