Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, memberikan reaksi pedas berhubung gelombang peletakan jawatan pemimpin parti itu, sambil menyindir tindakan mereka sebagai satu langkah berintegriti bagi mengelakkan diri daripada "makan gaji haram."
Kenyataan itu hadir susulan pengumuman mengejut terbaru daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, yang melepaskan jawatannya sebagai ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah.
Dalam satu hantaran di media sosial, Tun Faisal memuji mana-mana pemimpin yang memilih untuk meletakkan jawatan kerana prinsip, berbanding mereka yang terus memegang jawatan hasil daripada penipuan terhadap mandat rakyat.
"Ada yang mengharapkan agar Lembaga Disiplin pecat mereka. Rupanya sampai hari ini mereka masih belum dipecat.
“Baguslah kalau ada yang fikir takutkan laknat Allah dan tak mahu makan gaji haram atau takut kena bayar RM10 juta kepada Bersatu," katanya.
Bekas pemimpin Umno itu secara sinis membandingkan tindakan Mas Ermieyati dengan "sesetengah pihak" yang didakwanya sanggup mengkhianati pengundi dan parti demi membentuk kerajaan melalui cara yang tidak telus.
“Itupun ada juga yang melafaz baiah dan sumpah, tetapi tetap tidak patuh kepada Perlembagaan parti dan melanggar arahan parti.

"Haram ke tak haram tu?" soalnya merujuk kepada pemimpin yang masing-masing masih kekal memegang jawatan.
Kemelut dalaman Bersatu ini mencapai kemuncak apabila parti itu bertindak memecat Hamzah Zainudin selaku timbalan presiden bersama 16 pemimpin kanan yang lain, minggu lalu.
Langkah drastik kepimpinan pusat ini dilihat sebagai 'senjata makan tuan' apabila ia mencetuskan gelombang protes di peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan terbaru semalam, peletakan jawatan Mas Ermieyati—yang juga Ketua Srikandi Bersatu—diikuti oleh barisan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian. Bekas setiausaha Bersatu Masjid Tanah, Shahrul Azhar Amir, menegaskan bahawa tindakan itu adalah manifestasi kehilangan kepercayaan secara total terhadap Muhyiddin Yassin sebagai presiden.

Langkah di Masjid Tanah ini bukanlah yang pertama. Sebelum ini, 11 ketua bahagian di Johor (termasuk Johor Bahru, Mersing, dan Tanjung Piai) mengisytiharkan pembubaran. Namun, Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, cuba meredakan keadaan dengan hujah teknikal.
Dia menegaskan bahawa mengikut Perlembagaan Bersatu, mana-mana individu termasuk ketua bahagian tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian. Bagaimanapun kenyataan Azmin itu dikatakan sekadar cubaan untuk mengekalkan imej parti yang semakin rapuh, memandangkan sokongan fizikal dan jentera di peringkat cawangan kini hampir lumpuh sepenuhnya.
