Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata fokus utama parti itu adalah menyelamatkan Perikatan Nasional (PN) dan segala spekulasi berhubung gabungan itu akan terjawab pada mesyuarat PAS pusat, Ahad ini.
Katanya, untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 misi itu mesti melibatkan semua pihak.
"Paling penting pada perbincangan mesyuarat nanti adalah kita perlu selamatkan PN, kerana PAS berpendapat jika mahu perintah negara mesti membabitkan semua pihak," katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang, hari ini.
Dia juga berkongsi video kenyataannya itu di media sosial.
Abdul Hadi mengulas kedudukan PN yang kini goyah dan masih belum menyelesaikan isu pelantikan pengerusi baharu serta konflik dalaman yang melanda komponen gabungan itu, Bersatu.
Menurutnya, mesyuarat Ahad ini bukan sahaja akan membincangkan calon pengerusi PN baharu menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada Disember lalu, tetapi juga akan menyentuh soal pelantikan ketua pembangkang baharu.
"Kita akan bincang serta putuskan pengerusi PN baharu dan tidak menolak turut dibincangkan adalah mengenai ketua pembangkang di Parlimen.
"Setakat ini PAS belum membuat keputusan mengenai jawatan ketua pembangkang, mungkin akan dibincangkan pada mesyuarat Ahad ini," katanya.
Bagaimanapun Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan kesedian PAS menerajui PN.
Presiden PAS itu juga mengesahkan bahawa dia menerima kunjungan daripada Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada Bersatu.
Ditanya jika ada bincang kemungkinan kumpulan bekas timbalan presiden Bersatu itu menyertai PAS, Addul Hadi hanya sekadar berkata, semua pihak berjumpa dengannya.
“Semua pihak jumpa saya. Pihak Hamzah jumpa,pihak Muhyiddin pun jumpa. Semua mari jumpa belaka.

"Pada perjumpaan itu, masing-masing ada hujah masing-masinglah. Saya dengar belaka kedua-dua pihak. Kita nak selesaikan masalah dibangkitkan," katanya.
Mengenai perkara-perkara lain seperti penyertaan Hamzah yang juga adalah ketua pembangkang bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu ke dalam parti politik lain atau ‘rumah baharu’, katanya perkara itu belum dibincangkan.
“Itu terpulang kepada dia (Hamzah),” katanya.
Ditanya jika Hamzah menubuhkan parti baharu yang ditubuhkan Hamzah memohon menyertai PN, Abdul Hadi berkata perkara itu belum dibincangkan.
