DAP akan melaksanakan tiga pusingan tinjauan pendapat awam sebagai sebahagian daripada langkah untuk memahami dengan lebih mendalam persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan dan peranan parti itu dalam pentadbiran.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, parti itu telah melantik sebuah organisasi tinjauan untuk menjalankan projek berkenaan yang dijadualkan bermula bulan ini, diikuti sesi seterusnya pada April dan Jun.
Loke turut mendedahkan bahawa pemimpin DAP akan menjelajah ke seluruh negara pada Jun depan bagi memberi taklimat kepada ahli mengenai dapatan tinjauan tersebut.
Langkah itu bagi memastikan para perwakilan ke kongres khas parti pada 12 Julai ini dapat membuat keputusan mengenai peranan DAP dalam kerajaan.
“Kita mesti tahu sama ada sikap orang ramai dan sentimen sosial telah bertambah baik. Ini tidak boleh berdasarkan perasaan semata-mata, tetapi mesti bersandarkan data,” kata Loke kepada Sin Chew Daily.
Loke menyifatkan kongres khas parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang akan datang itu sebagai satu "referendum" dalaman, dengan perwakilan sendiri menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu berundur daripada semua jawatan kerajaan.
Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan itu menegaskan bahawa sekiranya ahli memilih agar pemimpin parti mengundur diri daripada peranan eksekutif, 40 Ahli Parlimen DAP akan tetap menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu, Loke menjelaskan walaupun pendapat awam boleh mempengaruhi penilaian perwakilan parti, ahli sendiri yang mesti menentukan "hala tuju akhir" parti.
“Separuh pertama tahun ini pastinya amat krusial (kerana) kita mesti menunjukkan beberapa pencapaian atau mendesak penembusan dasar (sebagai sebahagian daripada) kerajaan.
“Ia tidak bermakna semua isu akan hilang enam bulan kemudian, (tetapi) persoalan utamanya ialah sama ada keadaan telah bertambah baik sejak pilihan raya negeri (PRN) Sabah,” kata Loke.
Dia menekankan bahawa ahli akar umbi adalah pihak yang paling mengetahui suara pengundi kerana mereka menerima pelbagai bentuk maklum balas daripada orang awam, termasuk aduan, pujian, mahupun kritikan.
Tambah Loke, DAP sedang berusaha untuk menunjukkan kepada rakyat hasil daripada penembusan dasar dan reformasi institusi sebelum ini, termasuk yang melibatkan isu ekonomi dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Disember tahun lalu, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berikrar untuk mengumpul semua maklum balas yang diterima daripada pengundi Sabah semasa PRN sebelum ini dan berusaha ke arah mengembalikan keyakinan orang awam.
Keputusan itu dibuat susulan prestasi buruk parti pada pilihan raya tersebut, apabila ia tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi, termasuk enam kawasan yang dimenangi dengan majoriti besar pada pilihan raya 2020.
Susulan kekalahan teruk DAP dalam PRN pada 29 Nov tahun lalu, Loke menegaskan sekiranya Anwar gagal melaksanakan reformasi yang bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang, DAP akan menilai semula peranannya dalam kerajaan.
