Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun disegerakan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.
Beliau berkata tempoh sedekad adalah mencukupi untuk seorang Perdana Menteri melaksanakan agenda pembaharuan dan dasar utama negara, sebelum memberi ruang kepada kepimpinan baharu meneruskan khidmat.
“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun tu cukuplah, memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia untuk melepaskan untuk rakan-rakan lain meneruskan khidmat…dan kalau ada konsensus majoriti Ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang.
Anwar berkata cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan terpakai bermula dengan diri beliau terlebih dahulu.
“Ya, dia bermula daripada sayalah. Maknanya, jangan saya buat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting, di Kuala Langat hari ini.
Ramai pihak berpandangan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal ini dilihat sebagai antara agenda reformasi institusi bagi memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini dilaporkan berkata RUU pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin depan.
Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menerajui Kementerian Ekonomi, Anwar berkata prinsip kerajaan adalah konsisten dalam menangani sebarang isu tatakelola.
“Apa pun salah laku, ada dakwaan, kita harus konsisten. Jangan kita pilih, sama ada sesiapa pun, kalau ada dakwaan, siasat dengan telus dan terbuka, kalau ada bukti bersalah, dakwa. Tetapi jangan kita hebahkan atau menghukum sebelumnya.
“Sebab itu saya terima baik apa-apa dakwaan ya, sama ada kepada kerajaan, kepada saya, kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Barulah negara ini agak teratur,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan budaya tuduh-menuduh tanpa bukti, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang seharusnya dimanfaatkan untuk ibadat, memperkukuh silaturahim dan bermaafan.
Sebelum ini, Rafizi menafikan beliau terlibat dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion berkaitan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya, dipercayai merujuk kepada projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) membabitkan pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan beliau akan menerima kunjungan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dalam satu pertemuan tidak rasmi malam ini.
Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai kunjungan sahabat yang mengambil kesempatan untuk membincangkan kepentingan kedua-dua negara serta kemajuan beberapa projek telah diputuskan bersama.
“Bukan lawatan rasmi, tapi ambil kesempatan untuk bincang sikit kepentingan kedua-dua negara dan kemajuan beberapa projek yang telah kita putuskan bersama,” katanya sambil menambah beliau turut mengajak pemimpin itu berbuka puasa bersama sempena Ramadan.
- Bernama
