Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, mengecam kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, yang melabelkan pendirian politiknya sebagai satu "kegilaan".
Dalam respons ringkas hari ini, Akmal mempersoalkan mengapa cadangan yang dikemukakannya untuk memperkukuh parti sendiri sering disalah tafsir sehingga membawa kepada serangan peribadi.
"Apabila kita beri pandangan untuk parti sendiri tanpa sentuh parti orang lain, dianggap kita gila pula.
"Apa salah saya sampai dikatakan sebegini?" soalnya menerusi hantaran di media sosial.
"Moga Allah berikan yang baik-baik untuk Pak Cik Khalid Samad," katanya lagi.
Terdahulu Khalid menyatakan kesediaan Amanah untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan dalam PRU akan datang walaupun pilihan yang diharapkan ialah kekal bekerjasama dengan BN.
Antara kemungkinan yang dihadapai Amanah ialah berdepan dengan pertembungan tiga penjuru sekiranya BN memilih untuk mengikut saranan Akmal iaitu meninggalkan kerjasama dengan PH.
"Bagi Amanah, kami terus mengharap bahawa keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN.
"Tapi pada masa sama Amanah akan gerak jenteranya mulai sekarang untuk hadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti kegilaan Akmal.
"Ini bukan amaran atau cabaran, ia sekadar statement of fact atau menyatakan hakikat," katanya dalam kenyataan pagi tadi.
Sebelum ini, Akmal yang juga exco Melaka menyatakan kecenderungannya untuk melihat kerjasama antara Umno dan PAS di Melaka atas alasan demi agenda perpaduan Melayu.
Ia dibuat meskipun dia menyedari PAS tidak memenangi sebarang kerusi di negeri tersebut sebelum ini.
Isu ini timbul susulan spekulasi mengenai hala tuju BN menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal dilangsungkan di Johor dan Melaka.
Formula mengekalkan "kerusi penyandang" dilihat bakal merugikan Amanah yang hanya memiliki kerusi minimum di kedua-dua negeri itu.
Setakat ini, ketegangan antara kepimpinan Pemuda Umno dan Amanah dilihat terus memuncak, mencerminkan kerumitan proses pembahagian kerusi antara rakan sekutu dalam kerajaan perpaduan.
