Human Resource Development Corp (HRD Corp) menggantung tugas tiga lagi anggota pengurusannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan disiplin institusi dan memelihara keyakinan industri.
Ketua Eksekutif HRD Corp Shamir Aziz dalam kenyataan hari ini berkata langkah berkenaan menunjukkan komitmen organisasi terbabit meningkatkan piawaian tadbir urus dan memastikan sumber pembangunan tenaga kerja negara ditadbir dengan telus, cekap dan berakauntabiliti.
"Tadbir urus yang kukuh adalah asas kepada keyakinan perniagaan. Majikan mengharapkan pengelolaan yang telus, konsisten dan berdisiplin.
“Kami sedang memperkukuh sistem kami bagi memastikan HRD Corp sentiasa dapat memenuhi harapan tersebut," katanya.
Shamir menegaskan penggantungan tugas itu adalah langkah prosedur yang diambil untuk memelihara kebebasan penilaian dalaman yang sedang dijalankan, bukannya mencerminkan tindakan terhadap salah laku.
Dia berkata penilaian dalaman itu mengenal pasti bidang yang memerlukan kawalan dalaman yang lebih ketat, struktur pelaporan jelas dan pengawasan pematuhan yang dipertingkatkan.
“Penambahbaikan sedang dilaksanakan untuk memodenkan rangka kerja tadbir urus, memperkukuh mekanisme akauntabiliti dan memperkemas proses pentadbiran bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada majikan dan penyedia latihan,” katanya.
Tambah Shamir, penyelarasan semula itu adalah untuk memastikan sistem berfungsi dengan berkesan dan bertanggungjawab.
“Itulah intipati Madani Bekerja – tadbir urus yang berkesan, penyampaian kukuh institusi dan hasil yang mengukuhkan ekonomi,” katanya.
HRD Corp berkata pembaharuan tadbir urus berkait rapat secara langsung dengan daya saing ekonomi Malaysia sambil menambah institusi yang berdisiplin menyumbang kepada perancangan bakat yang lebih mampan, produktiviti tinggi dan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Menurut kenyataan itu lagi, kesinambungan perkhidmatan kekal tidak terjejas dan proses sewajarnya akan dipatuhi sepanjang penilaian semula itu.
Organisasi itu juga berkata pengukuhan integriti institusi kekal penting untuk mengekalkan kepercayaan industri dan menyelaraskan inisiatif pembangunan tenaga kerja dengan keutamaan pertumbuhan negara.
- Bernama
