Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasangan warga emas bersetuju bahagian rumah dirobohkan - Pejabat menteri

Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa pasangan warga emas di Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur sebelum ini telah bersetuju membenarkan pihak berkuasa merobohkan sebahagian rumah mereka yang memasuki tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi projek pelebaran jalan.

Menurut jurucakap pejabat Hannah Yeoh, pasangan itu sebelum ini meminta kontraktor DBKL membuka struktur tersebut kerana mereka tidak mampu melakukannya sendiri.

Jurucakap itu berkata pasangan tersebut kali terakhir berurusan dengan kontraktor DBKL pada November tahun lalu, apabila mereka berbincang dan mencapai persetujuan bersama. Dia juga menytaakan asa hairan mengapa isu itu timbul semula sedangkan sudah ada persefahaman dicapai.

“Pengaturan telah dibuat antara kontraktor DBKL dan keluarga tersebut.

“DBKL juga bersetuju memulihkan bahagian rumah yang tidak terjejas sekiranya ia rosak semasa kerja perobohan,” kata jurucakap itu, yang enggan dikenali, kepada Malaysiakini.

Awal minggu ini, Malaysiakini melaporkan pasangan tersebut dimaklumkan bahawa tiga perempat rumah mereka, termasuk rumah anak perempuan mereka yang bersambung, akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan di kawasan berkenaan.

Isu itu mula timbul sembilan bulan lalu apabila DBKL mengeluarkan notis pengosongan kepada keluarga tersebut bagi memaklumkan bahawa sebahagian tanah yang didirikan rumah berkenaan diperlukan untuk projek pelebaran jalan.

Perbezaan status tanah

Bagaimanapun kemudian didapati sebahagian besar rumah itu sebenarnya tidak dibina di atas tanah milik sah pasangan tersebut. Keadaan ini menyebabkan mereka, yang telah tinggal di situ lebih 60 tahun, berisiko kehilangan sebahagian besar rumah mereka.

Mengulas perkara itu, jurucakap berkenaan berkata hanya sebahagian kecil rumah itu akan dirobohkan, sekali gus menafikan dakwaan bahawa sebahagian besar struktur akan dimusnahkan sehingga pasangan itu menjadi gelandangan.

Malaysiakini juga dimaklumkan bahawa perobohan hanya melibatkan bahagian tambahan rumah yang dibina di atas tanah rizab DBKL, yang telah dikenal pasti untuk pembangunan akan datang.

“Memandangkan struktur tersebut dibina di atas tanah DBKL, pihak berkuasa berhak untuk menanggalkannya,” tambah jurucakap itu, sambil menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan tidak tergesa-gesa mendesak keluarga tersebut melaksanakan perobohan.

Namun begitu, kerja-kerja perobohan perlu diteruskan kerana dana projek telah diperuntukkan sejak tahun lalu, dan sebarang kelewatan boleh menjejaskan pelaksanaannya.

Walaupun rumah-rumah kosong di sekitar kawasan itu telah dirobohkan, rumah pasangan tersebut ditangguhkan sementara semasa tempoh Tahun Baharu Cina.

Penasihat Persatuan Kebajikan Biro Bantuan Sentul, M Saravanan, berkata keluarga itu sebelum ini telah mendapatkan bantuan daripada Yeoh, yang juga Ahli Parlimen Segambut, namun tidak banyak perkembangan dicapai.

Menurut anak perempuan pasangan itu, keluarga berkenaan bersama NGO telah merayu sokongan, termasuk bantuan daripada pejabat Yeoh untuk mendapatkan unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai penempatan sementara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS