mk-logo
Berita
MB: Dua premis kitar semula disyaki punca pencemaran bau Sg Kabul
Diterbitkan:  Feb 22, 2026 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Dua premis menjalankan aktiviti kitar semula minyak dan sisa plastik di kawasan perindustrian Mahkota Beranang dipercayai menjadi punca pencemaran bau di Sungai Kabul, Semenyih sejak Khamis lepas.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua premis itu dipercayai melepaskan sisa minyak serta efluen berwarna hitam ke sistem perparitan sebelum mengalir ke Sungai Kabul.

Beliau berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah membuka dua kertas siasatan terhadap premis terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta serta mandatori penjara hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Amirudin berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengambil tindakan penahanan operasi kelengkapan mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) menyita satu daripada dua premis itu kerana beroperasi tanpa lesen sah.

“Kita berjaya mengesan, mengenal pasti punca dan mengawal pencemaran kali ini. Namun, kawalan perlu dipertingkat bagi mengelak kejadian berulang yang boleh menjejaskan operasi loji rawatan air dan bekalan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi pencemaran di Hulu Langat hari ini.

Beliau berkata kejadian pencemaran itu merupakan yang ke-13 direkodkan di negeri itu sejak tahun lepas, namun kali ini melibatkan tempoh operasi mitigasi paling lama iaitu kira-kira 62 jam.

Amirudin berkata Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah kembali beroperasi secara normal pada 4.30 pagi tadi selepas bacaan sifar ukuran kadar bau (TON) direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.

Beliau berkata tindakan pantas pengaktifan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) berjaya mengelakkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 400,000 akaun pengguna susulan kejadian itu.

“Selain itu, pelepasan air Empangan Semenyih ditingkatkan hingga 454 juta liter sehari bagi membantu pencairan sungai. Pengaktifan ini berjaya menghalang gangguan bekalan air akibat pencemaran,” katanya.

LUAS memaklumkan sebanyak 10 unit oil boom, 800 unit oil pad dan 1,150 kilogram karbon teraktif digunakan bagi membendung pencemaran, selain kerja penyedutan sisa kira-kira 58.25 meter padu bahan pencemar dengan bantuan 10 lori tangki.

Pensampelan air telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut dan pemantauan intensif diteruskan bagi memastikan tiada lagi risiko kepada operasi loji serta bekalan air di kawasan terjejas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS