Tujuh ahli Kartel Generasi Baharu Jalisco (CJNG) Mexico terbunuh, termasuk pemimpin kumpulan itu Nemesio Oseguera Cervantes yang dikenali sebagai “El Mencho”, dalam satu operasi ketenteraan oleh Pasukan Khas Tentera Mexico di negeri barat Jalisco pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian Pertahanan Mexico memaklumkan bahawa Pasukan Khas, dengan kerjasama Pusat Risikan Kebangsaan dan Pejabat Peguam Negara, merancang dan melaksanakan operasi di Tapalpa, Jalisco, yang merupakan kubu kuat CJNG, dengan mengerahkan beberapa pesawat Tentera Udara dan unit Pengawal Kebangsaan bagi menahan Oseguera.
“Dalam operasi ini, anggota tentera Mexico telah diserang dan bagi mempertahankan diri, mereka membalas serangan itu. Tindakan itu mengakibatkan empat anggota kumpulan jenayah ‘CJNG’ maut di lokasi kejadian dan tiga lagi cedera parah sebelum meninggal dunia ketika diterbangkan ke Mexico City.
“Antara yang maut ialah Ruben ‘N’ (alias Mencho); bagaimanapun, pihak berkuasa berkaitan akan menjalankan proses forensik untuk mengesahkan identitinya,” menurut kementerian itu.

Kementerian berkenaan turut memaklumkan dua lagi anggota kartel ditahan dan pelbagai senjata serta kenderaan berperisai dirampas, termasuk pelancar roket yang mampu menembak jatuh pesawat.
Tiga anggota pasukan khas turut cedera dalam operasi itu dan dibawa ke kemudahan perubatan di Mexico City.
Menurut kementerian itu, operasi berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dalam rangka penyelarasan dan kerjasama dua hala dengan negara itu.
Kerajaan AS dan Mexico masing-masing menawarkan ganjaran sebanyak US$15 juta dan 300 juta peso Mexico bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.
Oseguera mengetuai CJNG sejak ia bermula sebagai cabang bersenjata kepada Kartel Milenio yang kini telah dibubarkan sebelum berkembang menjadi antara organisasi jenayah paling berkuasa dan ganas di Mexico.
Bekas pegawai polis itu mula dikenali pada awal 1990-an dan menjadi terkenal kerana kekejaman melampau kartel berkenaan serta penglibatannya yang semakin meluas dalam perdagangan dadah global.
Pembunuhan itu mencetuskan tindak balas ganas secara meluas dan segera, termasuk sekatan jalan raya, pembakaran kenderaan serta pertempuran bersenjata yang dilaporkan di beberapa negeri tempat CJNG beroperasi seperti Tamaulipas, Michoacan dan Nayarit.
Di Jalisco, Gabenor Pablo Lemus Navarro mengisytiharkan amaran merah, menggantung perkhidmatan pengangkutan awam dan mengarahkan pembatalan semua acara awam berskala besar pada Ahad. Beliau turut mengumumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka di seluruh negeri itu dibatalkan pada Isnin.
Sebagai langkah berjaga-jaga, negeri Puebla meningkatkan kehadiran keselamatan operasi di pelbagai lokasi dengan penyelarasan semua peringkat kerajaan.
Pihak berkuasa memaklumkan rondaan darat, pemantauan udara, rondaan komuniti serta operasi risikan turut dipertingkatkan susulan insiden di negeri lain.
Kabinet Keselamatan Mexico menyatakan pasukan keselamatan dari wilayah tengah Mexico dan negeri jiran digerakkan bagi memperkukuh kawalan di Jalisco.
Agensi Penerbangan Awam Persekutuan Mexico (AFAC) memaklumkan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Puerto Vallarta susulan insiden berhampiran lapangan terbang di Guadalajara, Puerto Vallarta dan Tepic, selaras dengan protokol dalaman masing-masing.
Bagaimanapun, agensi itu menegaskan ketiga-tiga lapangan terbang berkenaan terus beroperasi seperti biasa dengan Pusat Operasi Kecemasan di setiap kemudahan berfungsi mengikut prosedur ditetapkan.
Kabinet Keselamatan Mexico turut mengesahkan lapangan terbang negeri itu beroperasi, walaupun kebanyakan penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Puerto Vallarta dilaporkan dibatalkan dan beberapa ketibaan turut terjejas.
Keganasan itu turut mendorong amaran daripada kerajaan asing.
AS menggesa rakyatnya di beberapa negeri Mexico supaya berlindung di tempat masing-masing, termasuk di Jalisco meliputi Puerto Vallarta, Chapala dan Guadalajara, selain Tamaulipas, sebahagian Michoacan, Guerrero dan Nuevo Leon.
Kementerian Luar Kanada turut memberi amaran mengenai keganasan dan sekatan jalan raya di Jalisco serta arahan berlindung di tempat masing-masing di Puerto Vallarta, dan menggesa rakyatnya supaya berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Air Canada menggantung penerbangan ke Puerto Vallarta dengan alasan “situasi keselamatan semasa”.
Kedutaan Mexico di AS pula menafikan khabar umum bahawa anggota CJNG merancang menyerang orang awam selepas operasi itu, sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai “tidak berasas”.
Kedutaan itu mengenal pasti satu akaun media sosial di X sebagai sumber maklumat palsu yang menyebarkan dakwaan berkenaan.
- Bernama
