PARLIMEN l Pengadu atau mangsa yang hadir ke balai polis bagi urusan melibatkan kes kecemasan dan situasi yang memerlukan bantuan segera diberikan kelonggaran daripada pematuhan terhadap etika berpakaian. Perkara tersebut dimaklumkan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah berkata, menerusi surat edaran bertarikh 29 Disember lalu, ketetapan bagi memberikan kelonggaran tersebut berkuat kuasa serta-merta. Langkah ini bertujuan untuk memastikan hak mangsa atau pengadu yang terlibat dalam kes yang memerlukan tindakan segera dan pertimbangan khas tidak dinafikan.
Dia menjelaskan bahawa antara kes yang diberikan pengecualian daripada pematuhan etika berpakaian termasuklah kes jenayah, kemalangan jalan raya, ancaman keselamatan, serta kes tertentu yang berpotensi mencetuskan tekanan emosi atau trauma seperti kes rogol, samun, cabul, dan keganasan rumah tangga.

“Dalam keadaan sedemikian, kebajikan dan keselamatan pengadu merupakan keutamaan dan tidak seharusnya dihalang oleh isu pematuhan etika berpakaian.
“Maklumat berhubung dengan ketetapan tersebut telah disampaikan kepada semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) melalui surat edaran Jabatan Pengurusan PDRM bertarikh 29 Disember 2025,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Langkah tersebut, menurut beliau, adalah untuk memastikan pelaksanaan yang seragam, jelas, dan difahami oleh semua pegawai yang terlibat, selain berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara.
Dia berkata demikian bagi menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung dengan cadangan untuk memperkenalkan undang-undang bagi mewajibkan semua balai polis di seluruh negara menerima laporan polis daripada orang awam tanpa mengambil kira keadaan pakaian mereka.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menyatakan bahawa kementerian berpandangan bahawa arahan pentadbiran yang telah dikeluarkan itu sudah mencukupi dan tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu berkaitan dengan perkara tersebut.
Katanya bahawa arahan berkenaan selaras dengan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025 mengenai pemantapan pengurusan perhubungan pelanggan sektor awam.
Pekeliling tersebut memberikan ruang kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk menetapkan etika pemakaian yang bersesuaian mengikut fungsi serta keperluan perkhidmatan masing-masing, khususnya bagi urusan di kaunter dan di pejabat.
