Tokoh kewangan Islam, Daud Bakar, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas pertuduhan bersubahat dengan sebuah syarikat dalam urusan sekuriti tanpa lesen antara tahun 2021 hingga 2023.
Daud,62, didakwa atas kapasitinya sebagai wakil Energy Eco Berhad, yang penglibatannya didakwa telah membolehkan AUF MBZ Consortium PLT menjalankan urus niaga tersebut tanpa lesen perkhidmatan pasaran modal (CMSL) antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023.
Bekas pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara itu didakwa di bawah Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda maksimum RM10 juta, atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 58(1) melarang mana-mana individu daripada menjalankan urusan sekuriti atau pengurusan dana dalam aktiviti terkawal, atau mendakwa diri mereka menjalankan aktiviti tersebut tanpa lesen CMSL.
Daud mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan hakim Norma Ismail pagi ini.
"Faham, saya mohon dibicarakan," katanya.
Susulan itu, hakim memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000, dengan syarat tambahan iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali.
Dua lagi pertuduhan
Sementara itu, dua ahli perniagaan, Mahadi Badrul Zaman dan Iqbal Mohamad, turut memohon dibicarakan terhadap pertuduhan serupa di hadapan hakim yang sama.
Pertuduhan terhadap Iqbal adalah sama seperti Daud, yang penglibatannya sebagai pengarah QEW Group Berhad didakwa bersubahat dengan AUF MBZ dalam urus niaga serupa antara 3 September 2021 hingga 15 Februari 2024.
Iqbal mengaku tidak bersalah dan dikenakan jumlah ikat jamin serta syarat tambahan yang sama seperti Daud.
Manakala Mahadi pula didakwa atas kapasitinya sebagai wakil AUF MBZ di hadapan dua hakim Mahkamah Sesyen berasingan pagi ini.
Mahadi dituduh menjalankan urusan sekuriti tanpa CMSL antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023. Dia mengaku tidak bersalah di hadapan Norma.
Dia turut memohon dibicarakan atas pertuduhan serupa di hadapan hakim Azrul Darus, bagi kesalahan yang didakwa dilakukan antara 3 September 2021 hingga 15 Februari 2024.
Mahadi diperintahkan membayar jumlah ikat jamin keseluruhan sebanyak RM100,000 berserta syarat tambahan yang sama seperti Daud dan Iqbal.
Bimbang janggut dipotong dalam tahanan
Terdahulu, peguam Mahadi, Zamri Idrus memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya akan terkesan teruk jika gagal membayar ikat jamin dan dihantar ke penjara.
“Dia akan terjejas jika dihantar ke penjara. Biasanya, pihak berkuasa penjara akan mencukur kepala tahanan.
“Bagaimanapun, dalam kesnya, janggutnya yang akan dicukur dan itu akan memberi kesan kepadanya,” hujah Zamri ketika memohon Norma mempertimbangkan ikat jamin antara RM10,000 hingga RM50,000.
Pendakwaan hari ini dikendalikan oleh pendakwa raya Suruhanjaya Sekuriti, Mageswary Karroppiah, Danial Imran Nasaruddin, Shoba Venu Gobal, dan Quek Yiing Huay.
Selain Zamri, Daud diwakili peguam Haziq Razali manakala Iqbal diwakili Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 April.
