Pihak pendakwaan kini dalam proses menyiapkan pernyataan saksi bekas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, bagi kes Muhyiddin Yassin yang didakwa menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil daripada aktiviti haram.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, memaklumkan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bahawa pihaknya telah menyerahkan 99.5 peratus pernyataan saksi kepada pihak pembelaan dan hanya pernyataan saksi penting tersebut yang belum diserahkan.
“Kami akan menyerahkan pernyataan saksi Tengku Zafrul kepada pihak pembelaan dua minggu sebelum beliau memberikan keterangan di mahkamah,” katanya.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin mengesahkan telah menerima pernyataan saksi terbabit, namun menyatakan bahawa pihaknya belum menerima pernyataan ahli perniagaan, Syed Mokhtar Al-Bukhari.
“Kami mahu mendapatkan pengesahan sama ada beliau akan dipanggil untuk memberikan keterangan atau sebaliknya. Saya membangkitkan perkara ini kerana nama Syed Mokhtar tidak dimasukkan dalam senarai saksi pendakwaan,” katanya.
Menyentuh perkara itu, Wan Shaharuddin menjelaskan bahawa senarai saksi yang diserahkan pada hari ini hanya melibatkan kes Projek Jana Wibawa, manakala nama Syed Mokhtar telah dimasukkan dalam senarai saksi bagi kes pengubahan wang haram yang diserahkan kepada pihak pembelaan tiga tahun lepas.
“Jika tiada pernyataan saksi diserahkan kepada pembelaan, maka besar kemungkinan saksi terbabit akan memberikan keterangan secara lisan,” katanya.
Noor Ruwena kemudian mengarahkan pihak pendakwaan agar menyerahkan senarai lengkap semua saksi pada Jumaat ini.
Pada 7 Oktober tahun lepas, Jabatan Peguam Negara menolak representasi Muhyiddin untuk menggugurkan tujuh pertuduhan terhadap beliau.
Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan dengan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dengan 20 Ogos 2021.
Beliau juga berdepan dengan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dengan Julai 2022.
