LAPORAN AUDIT l Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dikesan berdepan dengan ketakteraturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar serta perbelanjaan universiti yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024, kutipan hasil telah dibuat oleh pihak yang tidak diberikan kuasa, iaitu Koperasi B-5-1788, bagi yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta. Jumlah tersebut merangkumi yuran bagi program Sarjana Pendidikan (SPEND) sebanyak RM3.53 juta dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) sebanyak RM47.21 juta.
“Perjanjian kerjasama tersebut tidak sah bagi SPEND dan DPLI kerana tidak mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan UKM,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, hasil yuran pelajar sebanyak RM32.36 juta yang diagihkan kepada Koperasi B-5-1788, termasuk RM0.87 juta yang diterima oleh UKM melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan eKewangan, tidak direkodkan sebagai hasil yuran pelajar UKM.
Laporan itu menyatakan bahawa agihan yuran yang dikutip daripada pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788 berjumlah RM21.02 juta lewat diserahkan kepada pihak UKM dalam tempoh antara 31 hari hingga 291 hari.
Selain itu, sejumlah RM5.32 juta yuran pelajar masih belum diserahkan kepada UKM setakat 31 Disember 2024, dengan tempoh kelewatan antara satu tahun hingga melebihi tiga tahun.
Audit juga mendapati bahawa wujud konflik kepentingan dalam pengurusan SPEND dan DPLI, yang melibatkan lima pegawai UKM memegang jawatan penting dalam Koperasi B-5-1788, iaitu sebagai Pengerusi, Setiausaha, Bendahari, dan Ahli Lembaga Koperasi.
“Penglibatan pegawai-pegawai tersebut dalam pengurusan operasi secara langsung adalah bercanggah dengan kepentingan UKM dan tidak selaras dengan kedudukan sebagai seorang pegawai badan berkanun seperti yang ditetapkan dalam Akta 605,” menurut laporan itu.
Sementara itu, audit mendapati bahawa perbelanjaan tidak teratur turut melibatkan sejumlah RM5.94 juta komisen kepada ejen yang tidak layak; RM107,907 perbelanjaan ke luar negara bagi enam individu yang bukan kakitangan UKM; dan sebanyak RM35,000 Elaun Pelajar Sangkutan Industri kepada pelajar yang tidak layak.
Justeru, laporan tersebut mengesyorkan supaya UKM menyemak dan memantau keseluruhan kutipan yuran pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788 bagi memastikan semua yuran pelajar diserahkan mengikut ketetapan kontrak dan mengelakkan sebarang kelewatan.
Selain itu, tindakan juga hendaklah diambil bagi mengutip baki yuran pelajar yang belum diserahkan kepada UKM.
Pada masa yang sama, UKM hendaklah mengkaji semula perjanjian kerjasama sedia ada dan apa-apa perjanjian pada masa hadapan berhubung dengan yuran pelajar, serta memastikan perjanjian tersebut dibuat secara selaras dan berpandukan sepenuhnya pada peruntukan Perlembagaan UKM sebagai instrumen perundangan yang mengawal kuasa serta fungsi universiti.
