LAPORAN AUDIT l Jabatan Audit Negara memaklumkan bahawa setakat 30 Jun 2025, baki geran penyelidikan di empat kementerian yang gagal dipulangkan berjumlah RM183.11 juta yang melibatkan 7,904 projek.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, jumlah tersebut melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Pihak audit memaklumkan bahawa baki geran penyelidikan yang tidak dipulangkan di keempat-empat kementerian tersebut menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kawalan kewangan, pemantauan projek, dan tatacara penutupan projek. Selain itu, dana penyelidikan didapati tidak digunakan secara cekap bagi memberikan impak yang telah ditetapkan.
KPT mencatatkan baki tertinggi yang tidak dipulangkan, iaitu berjumlah RM110.67 juta bagi 7,823 projek, melibatkan lima universiti penyelidikan, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Universiti Malaya (UM).
Selain itu, dua agensi pelaksana di bawah MITI mencatatkan baki geran berjumlah RM55.64 juta, manakala MOSTI sebanyak RM14.33 juta dan KPKM pula melibatkan RM2.47 juta.
Analisis audit turut mendapati bahawa sejumlah RM9.72 juta atau 5.3 peratus merupakan baki yang melebihi tempoh 10 tahun, manakala RM89.82 juta atau 49 peratus ialah baki bagi tempoh antara lima hingga sembilan tahun.
Laporan itu memaklumkan bahawa baki geran penyelidikan yang tidak dipantau oleh kementerian berisiko untuk digunakan bagi tujuan selain daripada kelulusan asal.
Di samping itu, baki geran penyelidikan MITI bagi Rancangan Malaysia ke-11 yang tidak dipulangkan, iaitu sebanyak RM55.64 juta, melibatkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).
Menurut laporan tersebut, agensi pelaksana telah menggunakan baki peruntukan berkenaan bagi membiayai projek-projek baharu Rancangan Malaysia ke-12 tanpa memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
