Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU asing kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dibentang
Diterbitkan:  Feb 23, 2026 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

PARLIMEN l Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya telah dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said yang membentangkan RUU tersebut berkata, bacaan kali kedua juga akan dilaksanakan pada persidangan kali ini.

Menurut naskhah biru di Parlimen, RUU tersebut bertujuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengadakan peruntukan pelantikan seorang Pendakwa Raya, selaras dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Langkah ini juga bertujuan untuk mengadakan peruntukan lindung jamin bagi Pendakwa Raya serta meminda perkara berkaitan selaras dengan pengasingan peranan berkenaan.

RUU tersebut turut bertujuan untuk meminda Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan kuasa pengampunan, yang menggariskan bahawa Peguam Negara Persekutuan merupakan anggota Lembaga Pengampunan bagi setiap negeri.

“Peguam Negara juga mengemukakan pendapat bertulis kepada Lembaga Pengampunan. Peranan Peguam Negara dalam Perkara 42 akan diambil alih oleh Pendakwa Raya,” menurut naskhah berkenaan.

Selain itu, RUU tersebut meminda Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan perkhidmatan awam, yang memperuntukkan bahawa jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak menjadi sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan.

Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan turut dipinda susulan fungsi tambahan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan berikutan pengasingan peranan tersebut.

Pindaan di bawah Fasal 4 berkenaan antaranya bertujuan untuk memasukkan fasal baharu ke dalam Perkara 138, bagi memperuntukkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan menjalankan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang diperuntukkan di bawah mana-mana perkara lain di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Selain fungsi sedia ada, dengan cadangan pindaan untuk memasukkan Perkara 145a, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan juga akan menjalankan fungsi tambahan yang melibatkan pelantikan, representasi bagi pemecatan, dan syor bagi penggantungan Pendakwa Raya,” jelas naskhah biru tersebut.

RUU itu turut bertujuan untuk menambah tiga anggota ex officio ke dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, iaitu Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, serta Peguam Cara Negara.

“Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dimasukkan sebagai anggota tetap kerana mereka merupakan hakim yang menyelia mahkamah bawahan secara langsung,” menurut naskhah itu lagi.

Berikutan pengasingan peranan tersebut, naskhah biru itu memaklumkan bahawa Peguam Negara tidak lagi berada dalam kalangan anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan, manakala fungsi sebagai ketua perkhidmatan akan dijalankan oleh Peguam Cara Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS