Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menangguhkan kerja merobohkan rumah pasangan warga emas di Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur sehingga keluarga berkenaan ditempatkan di kediaman alternatif, menurut pejabat Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.
Pejabat ahli parlimen itu memaklumkan arahan berkenaan meliputi semua struktur terjejas, termasuk rumah pasangan tersebut serta sebuah rumah bersebelahan milik anak perempuan dan cucu mereka, Webster Ong Wai Teck.
“Kami telah menyemak dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Tiada kerja perobohan akan dijalankan sehingga urusan penempatan tempat tinggal diselesaikan,” kata seorang jurucakap pejabat berkenaan.

Jurucakap itu menambah pejabat ahli parlimen berkenaan akan mengatur kediaman alternatif untuk anak perempuan pasangan tersebut dan Ong memandangkan rumah mereka turut terlibat dalam perobohan.
“Komitmen kami adalah menyediakan penempatan alternatif untuk anak perempuan dan cucu sebelum kerja perobohan (diteruskan),” kata jurucakap yang enggan dikenali itu.
Pertikaian ukuran tanah
Pasangan berusia 80 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Encik dan Puan Low itu telah menetap di rumah mereka di Jalan Kolam Air lebih enam dekad, malah sebelum DBKL ditubuhkan.
Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan tiga perempat rumah mereka serta rumah anak perempuan di sebelahnya akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan.

Keluarga berkenaan menerima notis pengusiran daripada DBKL sembilan bulan lalu yang menyatakan sebahagian tanah tempat rumah mereka dibina sebenarnya milik DBKL.
Namun, sepanjang lebih enam dekad, keluarga itu menyangka mereka memiliki tanah tersebut selepas Low memperoleh geran daripada DBKL pada 1998.
Baru-baru ini didapati tanah yang didiami mereka selama ini bukan lot asal yang dibeli Low akibat percanggahan ukuran tanah.
Lot sebenar yang diperoleh Low beberapa dekad lalu didakwa kini diduduki setinggan haram, menurut Persatuan Kebajikan Biro Bantuan Sentul yang membantu pasangan berkenaan.
Penempatan sementara beri kelegaan
Pejabat Yeoh turut menjelaskan hanya sebahagian kecil rumah pasangan itu akan dirobohkan dan perobohan tidak akan menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal.
Pejabat tersebut juga mendakwa pasangan berkenaan sebelum ini bersetuju membenarkan pihak berkuasa merobohkan bahagian rumah yang menceroboh tanah DBKL kerana mereka tidak mampu melakukannya sendiri.
Walaupun berdepan kemungkinan rumah dirobohkan, tawaran penempatan sementara melalui pejabat Yeoh memberi sedikit kelegaan kepada Ong.
Cucu pasangan itu berkata seorang wakil pejabat ahli parlimen Segambut telah menghantar mesej kepadanya tengah hari tadi bagi mengesahkan kerja perobohan tidak akan bermula sehinggalah keluarga tersebut dipindahkan ke kediaman baru.
Katanya, dia turut diminta hadir ke DBKL esok untuk mengambil surat tawaran penempatan sementara daripada pihak berkuasa tempatan.
“Saya telah menerima mesej daripada wakil YB yang memaklumkan mereka telah menghantar mesej kepada DBKL supaya tidak merobohkan rumah kami sehingga kami berpindah ke penempatan sementara.
“Buat masa ini, kami semua akan berpindah ke kediaman yang disediakan sehingga semua urusan selesai sebelum kembali semula,” katanya kepada Malaysiakini.
