Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Mafia korporat': DAP desak tubuh RCI pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini

Ketika kontroversi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memuncak, DAP akan mencadangkan pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan “mafia korporat”.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Kabinet telah membincangkan dakwaan terkini melibatkan SPRM dalam mesyuarat sebelumnya pada 13 Feb lalu, dan bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berhubung kontroversi pemilikan sahamnya.

Namun, Loke berkata langkah itu sahaja tidak mencukupi.

“Terdapat dua dakwaan berasingan. Satu berkaitan isu pegangan saham yang perlu disiasat - dan pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk tujuan itu.

“Satu lagi dakwaan berkaitan ‘mafia korporat’. Saya menyatakan (dalam mesyuarat Kabinet) bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan RCI.

“Kami mula mengemukakan cadangan ini dalam mesyuarat Kabinet lalu dan akan terus mendesaknya. Ini pendirian DAP,” kata Menteri Pengangkutan itu dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam.

Dakwaan ‘lebih serius’

Loke berpendapat dakwaan mengenai “mafia korporat” itu merupakan isu yang jauh lebih serius berbanding kontroversi pemilikan saham.

“Apa yang didakwa sekarang melibatkan keseluruhan SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya, sambil menambah pasukan petugas khas tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk menyiasat dakwaan sedemikian.

Azam kini menjadi sorotan susulan laporan Bloomberg dan Malaysiakini yang memperincikan pemilikan sahamnya, yang dilihat melebihi had yang ditetapkan ke atas penjawat awam.

Laporan Bloomberg juga mendakwa Azam mengetahui mengenai kewujudan rangkaian “mafia korporat” yang didakwa bersekongkol dengan unit penyiasatan SPRM dikenali sebagai “Seksyen D”.

Pada 13 Feb lalu, kerajaan mengumumkan pembentukan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan berkaitan Azam.

Menurut Loke, Gobind Singh Deo banyak bercakap dalam mesyuarat Kabinet kerana dia pernah mengendalikan kes yang sama semasa menjadi peguam.

Dia menegaskan bahawa kerajaan mesti memandang serius dakwaan tersebut, khususnya memandangkan kedudukan Bloomberg sebagai organisasi media antarabangsa berpengaruh yang laporannya mendapat perhatian media luar negara serta pelabur asing.

“Ini bukan dakwaan baru. Kita pernah mendengar aduan serupa sebelum ini, tetapi tiada media antarabangsa melaporkannya. Ini kali pertama Bloomberg berbuat demikian.

“Malah, perkara ini telah dibangkitkan beberapa tahun lalu, termasuk di Parlimen. Gobind sendiri pernah menyebutnya sebelum ini, menyatakan anak guamnya pernah menghadapi isu sedemikian," katanya.

Loke berkata selagi perkara itu tidak diperjelaskan sepenuhnya, SPRM akan terus beroperasi dalam bayangan syak wasangka - keadaan yang menurutnya juga tidak adil kepada agensi tersebut.

Respons kerajaan ‘tidak memadai’

Ditanya sama ada respons kerajaan setakat ini mencukupi, Loke menjawab secara terus terang.

“Jika respons kerajaan mencukupi, saya tidak perlu membuat gesaan secara terbuka.

“Terus terang, saya merasakan respons kerajaan tidak memadai dan tidak memenuhi jangkaan rakyat,” kata menteri itu.

Menyentuh isu pegangan saham, Loke berkata perkara itu harus diserahkan kepada pasukan petugas khas. Namun, dia menegaskan bahawa menteri Kabinet dan penjawat awam kanan tidak sepatutnya dibenarkan berdagang saham sama sekali.

“Jika menteri Kabinet tidak dibenarkan berdagang saham, apatah lagi ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Loke berkata dia tidak dapat bercakap bagi pihak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengenai sebab lanjutan tiga kali kontrak Azam.

Namun dia mengulangi pendirian DAP bahawa Azam perlu digantikan dengan pelantikan baru yang mendapat keyakinan lebih tinggi daripada orang ramai serta bebas daripada kontroversi.

Dia menambah bahawa proses pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM perlu mengikut manifesto pilihan raya Pakatan Harapan, yang memerlukan penelitian Parlimen sebelum pengesahan.

“Calon mesti melalui penelitian Parlimen dan disoal oleh jawatankuasa pilihan khas. Perdana menteri masih mempunyai hak mencalonkan, tetapi rekod prestasi dan latar belakang calon mesti diteliti terlebih dahulu oleh jawatankuasa Parlimen," jelasnya.

Azam menafikan melakukan kesalahan dan mengatakan urus niaga berkenaan telah diisytiharkan sewajarnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam, manakala SPRM menyatakan tidak akan melayan media asing yang dianggap “berniat jahat”.

Peguam Azam kini menuntut ganti rugi RM100 juta daripada Bloomberg atas dakwaan menjejaskan reputasi serta kedudukan profesional ketua pesuruhjaya SPRM itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS