Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Barangan dakwah dipulangkan selepas pertemuan dengan pegawai PM
Diterbitkan:  Feb 24, 2026 9:25 AM
Dikemaskini: 1:57 AM
1

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memulangkan barangan ‘dakwah jalanan’ milik pertubuhan Multiracial Reverted Muslims (MRM) yang disita sebelum ini, susulan satu pertemuan di ibu pejabat DBKL, petang semalam.

Kumpulan tersebut berjumpa dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin bagi membincangkan perkara itu. Hasil perbincangan merumuskan bahawa usaha dakwah tersebut dibenarkan untuk diteruskan selagi ia mematuhi peraturan tempatan.

Firdaus Wong

“Alhamdulilah. Barangan dan reruai MRM yang dirampas DBKL minggu lepas telah dipulangkan serta merta selepas pertemuan dengan Azman, setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Walaupun saya bukan lagi pengerusi mahupun staf MRM, saya tetap bersama serta menyokong usaha dakwah MRM saya berharap sahabat juga terus menyokong MRM,” kata pengasas pertubuhan itu yang juga pendakwah selebriti, Firdaus Wong melalui satu hantaran di Facebook, semalam.

Pendakwah itu turut menyatakan bahawa Azman menzahirkan sokongan terhadap usaha dakwah MRM, selain membincangkan pelbagai topik lain di samping isu penyitaan reruai badan dakwah berkenaan.

Pada 18 Feb lalu, anggota DBKL menurunkan khemah milik kumpulan itu kerana melanggar peraturan berhubung halangan di laluan pejalan kaki.

Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan bahawa mereka tidak pernah melarang aktiviti dakwah di kawasan awam, dan tindakan penguatkuasaan tersebut bertujuan bagi memastikan penggunaan ruang bandar yang selamat.

Sehari selepas itu, DBKL turut memaklumkan bahawa pengurusannya merancang untuk mengadakan pertemuan dengan MRM bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang, sekali gus mengelakkan kejadian serupa berulang.

Sementara itu, Azman turut berkongsi hasil pertemuannya dengan MRM secara terbuka, dengan menekankan bahawa perbincangan itu memfokuskan kepada usaha memastikan kumpulan tersebut mematuhi garis panduan tempatan.

“Dalam sesi tersebut, perbincangan tertumpu kepada usaha memperjelas dan mempermudah urusan penganjuran aktiviti Street Dakwah MRM agar selaras dengan garis panduan serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, khususnya DBKL.

“Saya menghargai usaha yang dijalankan dan menyokong pelaksanaannya dalam ruang yang dibenarkan oleh undang-undang. Kepatuhan kepada peraturan sedia ada akan memastikan semua pihak dapat bergerak ke hadapan secara profesional dan berhemah,” katanya di Facebook.

Insiden minggu lalu itu mencetuskan kontroversi meluas, terutamanya daripada kumpulan agama yang mempersoalkan sama ada pihak berkuasa sengaja melakukan usaha untuk menghentikan aktiviti dakwah Islam.

Ahli parlimen PAS, termasuk Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, turut mempersoalkan jika tindakan itu merupakan sebahagian daripada polisi baharu Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Wong mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang notis saman atau senarai inventori mengenai butiran rampasan dan kesalahan yang dilakukan.

Dia menegaskan bahawa MRM telah menjalankan aktiviti tersebut selama 14 tahun dan tidak pernah dimaklumkan mengenai keperluan untuk memohon permit.

Dia juga mendakwa seramai 12 anggota DBKL telah menyita khemah, wagon, dan bahan propaganda semasa aktiviti mereka pada 18 Februari itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudiannya mengingatkan bahawa pendakwah Islam juga perlu mematuhi undang-undang.

Anwar turut berkongsi bahawa dia sendiri pernah terlibat dalam aktiviti dakwah sebelum ini, namun menegaskan ia mestilah dilakukan tanpa melanggar peraturan tempatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS