Permohonan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan didengar di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Menerusi semakan sistem mahkamah, permohonan tersebut dijadualkan untuk didengar di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor pada jam 9 pagi.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara berkenaan.
Pada 3 Februari lepas, Hisyam memaklumkan bahawa permohonan untuk pembebasan penuh anak guamnya telah difailkan pada 28 Januari.
Permohonan itu dibuat atas alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan media pada 8 Januari lalu telah memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkaitan Ahmad Zahid.
AGC dalam kenyataan media tersebut memaklumkan keputusan NFA terhadap pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi itu diambil selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.
Pada 12 Januari pula, Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan bahawa keputusan untuk mengklasifikasikan kes Ahmad Zahid sebagai NFA dibuat selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden Umno tersebut.
Mohd Dusuki berkata, keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara "suka-suka" dan jabatan berkenaan tidak akan memberikan status NFA tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti, serta merit undang-undang sesuatu kes.
Terdahulu, pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkenaan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
