PARLIMEN l Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes dakwaan pemalsuan dokumen pemain 'warisan' dalam skandal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Saifuddin mengingatkan bahawa isu berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen pemain naturalisasi tersebut telah pun ditangani melalui proses siasatan bebas dan perundangan yang sedang berjalan, termasuk oleh pihak polis dan SPRM.

“Sehubungan itu, pihak kementerian berpandangan bahawa tiada keperluan pada masa ini untuk menubuhkan RCI berkaitan isu yang dibangkitkan, memandangkan proses perundangan serta siasatan oleh pihak berkuasa yang berkenaan masih berjalan,” kata Saifuddin dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 23 Feb.
“Walau bagaimanapun, sekiranya pada masa hadapan wujud keperluan yang munasabah untuk penubuhan RCI, perkara tersebut adalah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaras dengan peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119),” tambahnya.
Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Takiyuddin Hassan (PN - Kota Bharu) mengenai penubuhan RCI bagi menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dan salah laku yang terlibat dalam dakwaan pemalsuan dokumen berhubung kerakyatan Malaysia pemain 'warisan' berkenaan.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa dapatan awal SPRM mendapati isu dalam skandal tersebut lebih bersifat “teknikal” dan tidak mempunyai asas kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
Dia turut mengingatkan bahawa satu jawatankuasa siasatan dalaman FAM yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Raus Sharif juga telah ditubuhkan untuk meneliti perkara tersebut.
Bagaimanapun, pada Disember lalu, jawatankuasa tersebut merumuskan bahawa siasatan mereka terbantut kerana tidak mempunyai kuasa untuk meminta dokumen atau sepina saksi, dan akhirnya mengesyorkan FAM membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Fifa dalam siasatannya mendapati tujuh pemain 'warisan' iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel telah menjadi warganegara Malaysia melalui pengisytiharan palsu.

Badan induk bola sepak dunia itu mendapati sijil kelahiran yang mendakwa datuk atau nenek pemain tersebut dilahirkan di Malaysia adalah palsu, dengan satu daripadanya menunjukkan tanda-tanda gangguan yang jelas. Ia juga mendapati dokumen daripada pemain itu sendiri menunjukkan datuk dan nenek mereka tidak mempunyai hubungan dengan Malaysia.
Selain itu, siasatan tersebut mendapati pemain terbabit telah “lulus” aspek bahasa Melayu dalam ujian kewarganegaraan Malaysia walaupun tidak boleh bertutur dalam bahasa tersebut.
Saifuddin sebelum ini memberitahu Parlimen pada Oktober lalu bahawa pemain berkenaan mempunyai pemahaman asas bahasa Melayu.
Dia juga mendedahkan telah menggunakan kuasa budi bicaranya untuk mengecualikan syarat yang memerlukan mereka menetap di Malaysia sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum menjadi warganegara.

Setakat ini, Saifuddin mahupun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mengaku melakukan sebarang kesalahan dalam kes tersebut.
Kes kini berada di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) peringkat antarabangsa — yang turut menarik balik sekatan buat sementara waktu ke atas tujuh pemain tersebut daripada beraksi.
