Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC tidak bantah DNA 47 tuduhan Zahid, mahkamah tangguh keputusan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pembebasan penuh daripada 47 pertuduhan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Badius Zaman Ahmad memberitahu, AGC tidak memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan yang difailkan pada 28 Januari lalu.

“Saya diarahkan untuk hadir dan tidak membantah permohonan tersebut, sebab itulah kami tidak memfailkan sebarang afidavit balasan,

"Dengan izin kami diserah pagi ini dengan bantahan Badan Peguam terhadap permohonan DNA. Arahan yang diberi untuk hadir.

"Tiada bantahan terhadap permohonan (untuk DNA) …saya serahkan kepada mahkamah (untuk membuat keputusan)," katanya, pagi tadi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor, bagaimanapun berkata mahkamah tidak akan membuat keputusan terhadap permohonan itu pada peringkat ini.

Dia kemudian menangguhkan keputusannya berhubung permohonan Ahmad Zahid sementara menunggu pelupusan satu lagi perkara melibatkan status melepas tanpa membebaskan (DNAA) pemimpin itu di Mahkamah Rayuan.

Cabaran Majlis Peguam

Perkara lain tersebut merujuk kepada cabaran Majlis Peguam terhadap status DNAA Ahmad Zahid yang difailkan pada 2023, yang permohonan kebenaran itu telah ditolak pada 2024.

Susulan itu, mereka telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut, dengan Mahkamah Rayuan dijadualkan membuat keputusan pada 8 April depan.

“Ini adalah sesuatu yang melibatkan persoalan atau perkara kepentingan awam.

“Bukan hak mahkamah ini untuk merampas kuasa Mahkamah Rayuan bagi memutuskan (permohonan Ahmad Zahid) sekarang.

“Mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan lagi, walaupun pihak pendakwaan telah memberi bayangan bahawa mereka tidak membantahnya.

“(Ini adalah) kerana apa sahaja keputusan oleh mahkamah ini akan menentukan prosiding Mahkamah Rayuan berhubung rayuan permohonan kebenaran (oleh Majlis Peguam) itu.

“Atas sebab-sebab ini, mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga selepas keputusan Mahkamah Rayuan mengenai rayuan tersebut ditetapkan,” kata Hakim Nurulhuda Nur'aini.

Dia seterusnya menetapkan 24 April sebagai tarikh seterusnya untuk mendengar permohonan Ahmad Zahid.

‘Majlis Peguam tidak ada hak’

Mahkamah turut menjemput Majlis Peguam untuk hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) dalam permohonan Ahmad Zahid tersebut.

Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik membantah bantahan Majlis Peguam terhadap permohonan Ahmad Zahid, yang dinyatakan dalam surat yang dihantar kepada mahkamah semalam dan diserahkan kepada pihak-pihak terlibat dalam permohonan itu pagi tadi.

Hisyam Teh Poh Teik

“Adalah menjadi pendirian kami bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai sebarang hak untuk bersuara dalam permohonan ini. Mereka tidak boleh sekadar menulis surat dan datang ke mahkamah serta berkata 'saya bantah'.

“Mereka mesti memuaskan hati mahkamah (mengenai bantahan mereka) dan menyatakan di bawah peruntukan undang-undang mana (bantahan mereka berasas),” katanya.

Tiada peranan, locus standi

Dia seterusnya berhujah bahawa orang perseorangan atau entiti swasta tidak mempunyai locus standi untuk membantah atau terlibat dalam perkara jenayah.

“Ini adalah perkara jenayah di bawah bidang kuasa pendakwa raya, yang mereka (Majlis Peguam) tidak mempunyai peranan. Mereka tidak mempunyai locus untuk masuk campur atau merayu di hadapan mahkamah dan saya membantah permohonan mereka.

“Membenarkan Majlis Peguam untuk membantah akan menghakis atau mengurangkan peranan peguam negara atau pendakwa raya.

“Sekiranya mahkamah membenarkan bantahan Majlis Peguam, yang bukan merupakan pihak dalam permohonan ini, (ia akan) dianggap sebagai melanggar atau mengurangkan kuasa autoriti pendakwa raya.

“Satu-satunya perintah yang boleh diberikan oleh mahkamah adalah pembebasan penuh memandangkan pendakwa raya tidak mahu meneruskan prosiding,” hujahnya.

Sementara itu, Badius tidak menyatakan sebarang pendirian mengenai bantahan Majlis Peguam dan menyerahkan perkara tersebut kepada budi bicara mahkamah kerana pihak pendakwaan hanya diarahkan untuk tidak membantah permohonan Ahmad Zahid.

Presiden Umno itu didakwa pada 2018 dan 2019 atas 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Dia diberikan DNAA pada 4 Sept 2023. Pada ketika itu, perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah berada di peringkat pembelaan.

Ahmad Zahid, 73, telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan pembebasan penuh pada 28 Januari tahun ini, susulan kenyataan AGC pada 8 Januari yang mengisytiharkan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap presiden Umno itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS