PARLIMEN l Kerajaan Malaysia mengambil pendirian tegas untuk terus mempertahankan kedaulatan wilayah negara dengan berpaksikan Peta Baharu Malaysia 1979 dan tidak mengiktiraf sebarang tuntutan maritim oleh pihak luar yang bertentangan dengannya, termasuk oleh China.
Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata Malaysia tidak mempunyai sebarang pertindihan kawasan maritim dengan China berasaskan peta yang diperakui di peringkat antarabangsa pada 1979.
Dia menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana permohonan atau tuntutan kedaulatan yang dibuat oleh negara lain sekiranya ia tidak selari dengan sempadan yang telah ditetapkan dalam peta berkenaan.
"Kita tetap dengan Peta 1979. Sesiapa sahaja yang menuntut wilayah mereka selepas itu, kita tidak peraku dan tidak iktiraf. Malah, kita tidak pernah mengadakan sebarang rundingan dengan negara China (berkenaan tuntutan tersebut)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mustafa Musa mengenai isu teknikal dan diplomatik dalam proses penetapan sempadan antara Malaysia dengan beberapa negara jiran termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, dan China agar penguatkuasaan zon maritim, udara, dan darat lebih berkesan serta sifar pencerobohan.
Mohamad berkata setiap langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menguruskan sempadan negara adalah berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa bagi menjamin kedaulatan wilayah dan integriti sempadan negara terus terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa istilah "proses rundingan penetapan sempadan" adalah lebih tepat berbanding "pertikaian" kerana Malaysia tidak mempunyai perselisihan yang membawa kepada permusuhan dengan mana-mana negara jiran.
Beliau turut menyentuh mengenai ketegasan Malaysia dalam isu kedaulatan Sabah dengan mengulangi bahawa Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana wilayah tersebut sah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia melalui proses yang ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri serta diperakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1963.
Mengenai hubungan sempadan dengan Indonesia, beliau memaklumkan bahawa rundingan sedang giat dijalankan berdasarkan konvensyen sejarah tahun 1891, 1915, dan 1928. Beliau turut memaklumkan pada Februari 2025, kedua-dua negara memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara yang menyelesaikan jarak 58.3 kilometer sempadan darat di Barat Pulau Sebatik.
Bagi Singapura pula, Mohamad berkata tumpuan kini adalah terhadap usaha mengambil semula pengurusan kedaulatan ruang udara secara berfasa di selatan Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR) yang kini berada di bawah kawalan teknikal Singapura.
Sementara bagi sempadan dengan Thailand, beliau menyatakan sebanyak 11 MoU ditandatangani yang menyaksikan kejayaan penandaan sepanjang 543 kilometer atau kira-kira 82 peratus daripada keseluruhan sempadan darat.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Bobbey Suan berkaitan tindakan waris Sultan Sulu mencabar kedaulatan negara di mahkamah Eropah, Mohamad menyifatkan perbuatan itu sebagai strategi atau cubaan mencari ruang di negara-negara berbeza untuk mendapatkan keputusan yang memihak kepada mereka.
Beliau berkata kumpulan penuntut itu mula mengemukakan kes di Sepanyol namun gagal, sebelum beralih ke Luxembourg, Belgium, dan akhirnya ke Paris.
"Tuntutan waris Sultan Sulu ini adalah berasingan daripada tuntutan kerajaan Filipina, namun kedua-duanya kita tidak iktiraf sama sekali," katanya.
Kejayaan Malaysia membatalkan beberapa keputusan mahkamah di Eropah baru-baru ini dilihat sebagai tamparan hebat kepada kumpulan penuntut berkenaan, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam mempertahankan hak wilayah negara.
- Bernama
